surayaroslan@mediaprima.com.my
Kehidupan di kawasan perumahan berkepadatan tinggi memerlukan tahap toleransi, disiplin dan kerjasama yang tinggi dalam kalangan penghuni.
Namun, isu kebersihan, pengurusan sampah dan parkir tidak teratur masih menjadi antara rungutan utama masyarakat bandar sehingga menjejaskan keharmonian hidup berjiran.
Walaupun majoriti penghuni mematuhi peraturan, tindakan segelintir individu yang membuang sampah sesuka hati atau menggunakan ruang awam secara tidak bertanggungjawab mampu mencetuskan ketidakselesaan dalam komuniti.
Kajian di Malaysia menunjukkan hampir separuh isi rumah masih tidak mengasingkan sampah domestik walaupun menyedari kepentingannya terhadap kesihatan dan alam sekitar.
Selain itu, kadar amalan kitar semula dalam kalangan rakyat Malaysia juga masih rendah dan belum mencapai tahap memuaskan.
Pensyarah di Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, kesedaran sivik dalam komuniti perumahan tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
Menurutnya, budaya disiplin, rasa hormat terhadap ruang awam dan tanggungjawab bersama perlu dipupuk secara berterusan dalam kalangan penghuni.
“Perumahan berkepadatan tinggi memerlukan tahap toleransi dan disiplin yang tinggi kerana setiap tindakan penghuni memberi kesan langsung kepada kesejahteraan komuniti sekeliling.
“Dalam hal itu, pendekatan Jepun menerusi semangat Dasar Pandang ke Timur wajar dijadikan contoh dalam membentuk masyarakat lebih berdisiplin,” katanya.
Kata Mohd Hafizal, di Jepun, penduduk diwajibkan mengasingkan sampah mengikut kategori tertentu seperti bahan boleh dibakar, tidak boleh dibakar, plastik, botol kaca dan bahan kitar semula lain.
“Setiap kategori mempunyai jadual kutipan berbeza dan sampah yang dibuang secara salah boleh dipulangkan semula bersama nota amaran.
“Selain itu, penggunaan beg sampah khas dan sistem pelupusan sisa besar yang tersusun membantu mengawal pembuangan sampah secara tidak teratur,” katanya.
Menurut Mohd Hafizal, budaya kebersihan di negara itu turut dipupuk sejak kecil apabila pelajar membersihkan kelas dan kawasan sekolah sendiri tanpa terlalu bergantung kepada pekerja pembersihan.
“Pendekatan itu berjaya membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap ruang awam serta persekitaran.
“Selain isu sampah, masalah parkir liar turut menjadi cabaran utama di kebanyakan kawasan perumahan padat di negara ini,” katanya.
Kata Mohd Hafizal, ada penghuni meletakkan kenderaan di bahu jalan, parkir secara berlapis atau meletakkan penghadang bagi ‘cop parkir’ tanpa kebenaran.
“Di Jepun, sistem ‘Proof of Parking’ atau ‘Shako Shomeisho’ mewajibkan individu membuktikan mereka mempunyai ruang parkir sebelum dibenarkan membeli atau mendaftarkan kenderaan.
“Melalui sistem itu, pemilik perlu menyediakan bukti pemilikan atau sewaan lot parkir kepada pihak berkuasa sebelum proses pendaftaran diluluskan.
“Pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan parkir liar, malah mengawal pemilikan kenderaan di kawasan bandar yang mempunyai ruang terhad,” katanya.
Mohd Hafizal berkata, Malaysia mungkin belum bersedia melaksanakan sistem sedemikian secara menyeluruh, namun nilai disiplin dan tanggungjawab masyarakat Jepun wajar dicontohi.
“Kajian berkaitan perumahan sosial di Malaysia turut menunjukkan kawasan kediaman yang terurus mampu mengurangkan kadar jenayah serta meningkatkan kesejahteraan komuniti.
“Justeru, usaha memperkukuh budaya sivik menerusi pendidikan, kempen kesedaran dan kerjasama komuniti perlu diperkasakan agar kawasan perumahan menjadi lebih bersih, selamat dan harmoni,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




