Individu buli siber ada masalah kesihatan mental

Individu buli siber ada masalah kesihatan mental

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Tabiat membuli dalam media sosial atau buli siber boleh dipengaruhi beberapa faktor termasuk individu itu mempunyai masalah kesihatan mental.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, beberapa individu yang melakukan buli siber kemungkinan besar mempunyai isu kesihatan mental.

“Pelaku buli siber itu sendiri mungkin tidak diklasifikasikan sebagai masalah kesihatan mental, motivasi tetapi jika dia bertindak keterlaluan, membuli tanpa empati, mengganggu privasi hingga meninggal kesan pada mangsanya, kemungkinan dia ada isu kesihatan mental.

“Mangsa buli siber sering menderita anxiety, depresi dan isu psikologi lain, manakala pelaku buli pula yang berulang mungkin memiliki masalah psikologi yang perlu diatasi seperti rasa rendah diri, depresi atau ada masalah pengurusan kemarahan.

“Jadi, buli siber menjadi cara pelaku untuk melepas kemarahan atau isu dihadapi,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas kejadian buli siber yang semakin berleluasa dengan terbaharu keluarga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria juga tidak terkecuali menjadi mangsa apabila dilihat hadir pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Ahad lalu, media sosial kecoh apabila Norza dirakam duduk bersama isteri dan anaknya di Arena Porte de La Chapelle ketika perlawanan perebutan pingat gangsa antara pasangan beregu badminton lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dengan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.

Netizen mempertikaikan kehadiran ahli keluarga Norza di tempat duduk penonton sedangkan Nova Armada dari Indonesia, jurulatih kepada pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei tidak dapat ke Paris kerana kad akreditasi yang terhad.

Mengulas lanjut, Fauziah berkata, insiden terbaharu Norza itu menunjukkan seorang tokoh juga tidak kebal terhadap buli siber.

“Tokoh awam sering menghadapi pengawasan dan kritik yang dengan cepat boleh berubah menjadi buli.

“Reaksi terhadap kes Norza menunjukkan perlunya kesedaran dan pendidikan yang lebih besar tentang buli siber dan pentingnya empati serta diskusi yang sopan di dunia maya,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya, walaupun buli siber di Malaysia mencerminkan masalah masyarakat yang lebih luas, cara mengatasinya memerlukan pendekatan kesedaran, pendidikan, kesihatan mental dan hukuman yang setimpal.

“Peningkatan kesedaran masyarakat tentang buli siber dan mempromosikan literasi digital dapat membantu mengurangkan masalah ini.

“Dari aspek kesihatan mental pula, sangat penting fokus perlu diberikan kepada mangsa dan pelaku buli siber termasuk kaunseling dan intervensi kesihatan mental.

“Selain itu, undang-undang siber perlu diperkasakan dan diperketatkan sebagai pencegahan,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, bukan undang-undang Malaysia tidak cukup kuat sebaliknya, perkara itu berulang kali berlaku disebabkan beberapa faktor.

“Pertama tidak ada akauntabiliti ke atas tindakan kerana ia berselindung di balik tabir virtual dan kedua psikologi di belakang keyboard (papan kekunci) yang menyebabkan sifat dan akibat tidak diproses dalam tindakan atas talian.

“Contoh cuma berapa peratus saja daripada pelaku buli siber yang sanggup mencemuh di luar talian di hadapan mangsa sebaliknya ramai yang hanya boleh mencemuh dalam talian tapi tidak di luar talian,” katanya.

Justeru katanya, buli siber perlu dilihat sebagai cara atau method kaedah kesalahan boleh di lakukan.

“Antara Undang-Undang sedia ada yang menangani buli siber adalah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Seksyen 233 yang melarang penggunaan perkhidmatan rangkaian untuk mengganggu, mengancam atau menganiaya, dengan penalti termasuk denda dan penjara.

“Seksyen 509 Kanun Keseksaan pula meliputi tindakan menghina kesopanan seseorang, dengan hukuman penjara, denda, atau kedua-duanya.

“Mangsa juga boleh membawa tuntutan sivil untuk fitnah membabitkan kenyataan palsu yang merosakkan reputasi mereka,” katanya.

Semalam, Norza mempertahankan keluarganya daripada serangan dalam talian berdasarkan gambar tular mereka di Sukan Olimpik Musim Panas Paris 2024 dengan kad akreditasi khas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top