Individu ceroboh, potong kawat berduri di sempadan boleh didakwa

Individu ceroboh, potong kawat berduri di sempadan boleh didakwa

am@hmetro.com.my

Tumpat: Agensi penguat kuasa sempadan boleh menahan dan mendakwa individu yang didapati memotong kawat berduri yang dipasang di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata mereka yang ditahan boleh didakwa atas kesalahan khianat harta benda.

Beliau berkata, kebelakangan ini terdapat insiden kawat besi di sepanjang sempadan dipotong oleh penyeludup, sekali gus mendorong PGA mempertingkatkan pemantauan di kawasan panas yang dikenal pasti.

“Kami akan mengambil tindakan tegas dengan menahan dan mendakwa mereka yang terbabit.

“Ini adalah satu perbuatan sabotaj dan kita tidak akan berkompromi,” katanya.

Radzi berkata perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh penduduk tempatan yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan, selain kemungkinan pembabitan individu dari negara jiran.

Beliau menegaskan penguatkuasaan akan dipertingkatkan di kawasan terjejas, dengan pemantauan berterusan bagi mengelakkan pelanggaran selanjutnya.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini berkata penyeludup mula mensabotaj kawat berduri yang baru dipasang di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand dengan memotong dan mengubah suai pagar bagi mewujudkan laluan masuk.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top