Individu dedah keperibadian Faizal Tahir dalam misi kemanusiaan – “Tak merungut, tidur beralas tikar”

Individu dedah keperibadian Faizal Tahir dalam misi kemanusiaan – “Tak merungut, tidur beralas tikar”

Penglibatan penyanyi terkenal, Faizal Tahir dalam misi kemanusiaan di Aceh, Indonesia mendapat perhatian ramai apabila beliau disifatkan sebagai seorang yang cukup merendah diri sepanjang menyertai bantuan kepada mangsa banjir di wilayah berkenaan.

Tak merungut, tidur beralas tikar

Faizal Tahir Tak merungut, tidur beralas tikar

Salah seorang peserta misi tersebut, Dr Ghafur Rahim Mustakim, meluahkan rasa kagum terhadap sikap penyanyi itu yang tidak kekok hidup dalam serba kekurangan walaupun sudah bergelar artis terkenal dengan pelbagai pencapaian dalam industri hiburan.

Menurut Dr Ghafur, misi yang bermula pada 18 Februari lalu itu menuntut semua peserta bermalam di rumah mangsa banjir kerana lokasi penempatan bantuan terletak jauh dari kemudahan penginapan.

“Walaupun sudah menang banyak anugerah, mempunyai jutaan peminat dan bayaran persembahan mencecah puluhan ribu ringgit, beliau tetap sedia tinggal dalam keadaan serba sederhana,” katanya di Instagram.

Sepanjang berada di lokasi, Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohd Tahir dilaporkan tidur beralaskan tikar tanpa kipas, tanpa tilam dan tanpa selimut. Kemudahan tandas juga tidak sempurna selain terpaksa berdepan gangguan nyamuk pada waktu malam.

Makanan pula disediakan seadanya, namun menurut Dr Ghafur, penyanyi itu langsung tidak merungut atau membuat sebarang permintaan khas.

“Misi kali ini memang mencabar. Kami keluar seawal pagi untuk mengagihkan bantuan dan hanya berhenti menjelang waktu berbuka puasa. Tetapi beliau tidak pernah meminta rehat, malah sering bertanya apa lagi yang boleh dibantu,” ujarnya.

Lebih menyentuh hati, Faizal juga tidak memperkenalkan dirinya sebagai artis ketika bertemu penduduk setempat, sebaliknya sekadar memperkenalkan diri sebagai “Ahmad”. Identitinya hanya diketahui selepas ada yang mengenalinya menerusi video di YouTube.

Apabila ditanya mengapa tidak mahu dikenali sebagai artis, beliau menjelaskan tidak mahu menerima layanan berbeza sepanjang menyertai misi tersebut.

“Lagi best bila perkenal diri dengan siapa-siapa siap tak mengaku artis.
“Perkenal diri pun sebagai Ahmad, kantoi pun sebab ada orang buka YouTube, tengok muka sama dengan orang yang nyanyi bersama Harris J,” kongsinya.

Dalam masa sama, Dr Ghafur turut mengingatkan bahawa penderitaan bukan sahaja berlaku di Aceh, malah masih membelenggu wilayah lain seperti Gaza dan Sudan.

“Moga Ramadan ini membawa keberkatan dan mengangkat segala kedukaan. Semoga kita semua diajar untuk sentiasa bersyukur dan bersabar,” tambahnya lagi.

Artikel lain: Kontroversi buka baju, Faizal Tahir tak menyesal! Asbab aktif kerja kemanusiaan

Untuk info, Faizal dan Dr Ghafur menyertai misi Better Ramadan di Aceh, Indonesia bermula 18 hingga 21 Februari.

Sumber: Instagram ghafur_mustakim

Scroll to Top