Pelakon popular Nur Fazura sekali lagi menyorot perhatian selepas seorang individu mencadangkan dia melakukan angkat sumpah bagi membuktikan kebenaran.
Difahamkan, hantaran yang dimuat naik di Threads itu dipercayai dibuat susulan video tular baru-baru ini yang memperlihatkan anak kesayangannya, Nur Fatima Aisya, mengadu bahawa neneknya yang juga ibu kepada Fattah Amin menggelar cucunya itu sebagai tidak cantik dan tidak pandai.
Bagaimanapun, enggan membuat andaian mengenai penulisan individu terbabit, Fazura tampil bersuara menuntut penjelasan sama ada cadangan itu benar ditujukan kepadanya dan anaknya.
“Saya tidak mengenali mahupun pernah menyentuh wanita ini.
“Namun, saya ingin bertanya pandangan pembaca jika benar cadangan harus berani angkat sumpah kerana “menipu” ini dianjurkan buat saya dan anak saya?
“Membuli saya adalah satu perkara, tetapi cuba membuli anak saya adalah perkara yang tiada sesiapa pun boleh sentuh,” katanya.

Dalam hantaran sama, bintang filem Pisau Cukur itu turut berkongsi tangkap layar ciapan individu berkenaan yang mendakwa Fazura memutar belit kenyataan berkaitan aduan anaknya sebelum ini.
“Kenyataan budak-budak tidak pandai menipu itu sudah basi. Zaman sekarang budak sampai pandai bunuh kucing, mereka cerita, tahu nak wayang saja. Memang ada segelintir yang naif dan pasif tapi ada saja yang pandai menipu.
“Tambahan tiada orang pun tuduh dia menipu. Kalau memang orang dewasa itu tidak keluarkan kenyataan itu, memang nak kena mengaku ke kita buat? Terima sajalah kenyataan yang dikeluarkan tanpa putar belit,” tulis individu tersebut.

Terdahulu, Fazura menerusi hantaran tular dilaman sosial baru-baru ini gagal menahan sebak ketika mempertahankan anak kesayangannya itu daripada dihina oleh individu terdekat.
Katanya, dia mahu memastikan emosi dan mental puteri tunggalnya itu sentiasa terjaga sepanjang berada di bawah jagaannya.




