Oh! Negara
Kerajaan bakal perkenal undang-undang kebersihan awam, tindakan tegas kepada individu suka buang sampah
Suka buang sampah merata? selepas ni jangan harap anda boleh terlepas! sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), kerajaan menyasarkan kehadiran seramai 35 juta pelancong dengan potensi penjanaan pendapatan negara sebanyak RM147 bilion.
Bagi memastikan sasaran tersebut boleh dicapai, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah merangka pelbagai pendekatan agresif dan strategik termasuk perkenal undang-undang baharu berkaitan dengan kebersihan awam.
Tindakan tegas menanti mereka yang suka buang sampah merata!

Menerusi laporan Harian Metro, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming memaklumkan bahawa undang-undang yang bakal diperkenalkan itu akan memberi kuasa kepada pihak berkuasa bukan sahaja untuk mengeluarkan kompaun, malah turut mengenakan hukuman khidmat masyarakat terhadap individu yang didapati membuang sampah sesuka hati.
Mereka yang melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan seperti memakai pakaian seragam hijau dan diarahkan mencuci tandas, menyapu jalan serta membersihkan permaidani awam selama 12 jam
Hukuman lebih berat termasuk penjara boleh dikenakan oleh Mahkamah Majistret, namun bergantung kepada jenis kesalahan serta had bidang kuasa yang ditetapkan.
Kebersihan bukan sekadar isu tempatan tetapi menjadi elemen utama dalam mencorakkan persepsi pelancong terhadap negara ini. Bila pelancong datang, mereka tak hanya tengok bangunan cantik. Mereka lihat Malaysia bersih atau kotor. Imej negara bergantung pada itu.

Nga juga menambah, sudah tiba masa untuk Malaysia mengambil pendekatan tegas yang sama demi menjamin kelangsungan ekonomi negara melalui sektor pelancongan.
Beliau turut memberi contoh, undang-undang sedemikian sudah berjaya dilaksanakan di beberapa negara maju termasuk Sweden, Jepun dan Singapura.
Rentetan daripada itu, Nga menyeru semua Ahli Parlimen menyokong rang undang-undang itu apabila dibentangkan, agar ia dapat dikuatkuasakan sebelum hujung tahun ini.
Dalam pada masa yang sama, Nga juga mengingatkan bahawa kebersihan adalah sebahagian daripada iman dan menjadi tanggungjawab setiap individu untuk memastikan persekitaran sentiasa terpelihara.
Pssttt! Kebersihan adalah asas kepada kehidupan yang sihat dan sejahtera. Ia bukan sahaja mencerminkan keperibadian seseorang, malah turut mencerminkan jati diri dan maruah sesebuah negara.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
Farhan adalah perancang strategik untuk tim Oh! Media yang gemar menulis segmen politik dan tidak ketinggalan meneroka isu-isu semasa. Dengan kepakaran dan minat mendalam, Farhan memastikan setiap penulisannya memberikan perspektif yang bernas dan menarik.