Indonesia akan beri ‘kejutan’ kepada dunia tahun depan – Prabowo

Indonesia akan beri ‘kejutan’ kepada dunia tahun depan – Prabowo

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menyatakan keyakinan bahawa negara itu bakal memberikan ‘kejutan’ kepada dunia pada tahun depan, sekali gus menandakan kebangkitan Indonesia sebagai kuasa yang semakin berkembang.

Menurut beliau, Indonesia bukan lagi sebuah ‘raksasa yang sedang tidur’, sebaliknya kini berada dalam fasa kebangkitan yang lebih kukuh.

“Tahun depan kita akan buat kejutan untuk seluruh dunia. Indonesia sedang bangkit.

“Kita bukan lagi ‘sleeping giant’, sebaliknya sedang meningkat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian sebuah kilang pemasangan kenderaan komersial berasaskan elektrik di Magelang, Jawa Tengah pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan bentuk kejutan yang dimaksudkan.

Prabowo menjelaskan keyakinannya itu didorong oleh kekuatan dalaman negara, termasuk sumber asli yang melimpah, keupayaan teknologi yang semakin berkembang serta usaha kerajaan memperkukuh kemandirian dalam sektor strategik.

“Kita mempunyai kekuatan besar. Kita akan berdikari, kita akan menjadi kuat dan berdiri di atas kaki sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa masa depan Indonesia adalah cerah, khususnya bagi generasi muda yang akan meneruskan agenda pembangunan negara.

Menurutnya, pelbagai inisiatif pembangunan termasuk dalam bidang industri dan teknologi akan terus diperkasakan bagi memastikan Indonesia kekal berdaya saing di peringkat global.

“Indonesia tidak gelap. Masa depan kita cerah dan kita akan menjadi semakin kuat,” katanya.

Scroll to Top