Indonesia benarkan pindahan data pengguna ke AS

Indonesia benarkan pindahan data pengguna ke AS
Indonesia benarkan pindahan data pengguna ke AS

Airlangga Hartarto. Foto Agensi

JAKARTA – Kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat mencapai satu persetujuan penting dalam kerjasama perdagangan dua hala apabila Jakarta bersetuju membenarkan pemindahan data pengguna rentas sempadan secara terhad ke negara itu sebagai sebahagian daripada perjanjian dagang timbal balas.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto berkata, dasar tersebut termasuk dalam Perjanjian Tarif Timbal Balas yang dipersetujui oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menurut beliau, pengaliran data lintas negara itu dilaksanakan secara terhad dan tetap tertakluk kepada undang-undang domestik Indonesia.

“Indonesia menggalakkan pengaliran data rentas negara secara terhad selaras dengan ketetapan undang-undang dalam negeri,” katanya dalam sidang media maya baru-baru ini.

Kesepakatan berkenaan dirangka bagi mengurangkan halangan perdagangan bukan tarif antara kedua-dua negara, selain menyokong kelancaran transaksi ekonomi digital serta memperkukuh hubungan dagang Indonesia-AS.

Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan bahawa aspek perlindungan data peribadi rakyat tidak akan dikompromikan.

Airlangga menegaskan Amerika Syarikat wajib menyediakan standard keselamatan data yang setara dengan peraturan perlindungan pengguna yang berkuat kuasa di Indonesia.

Beliau berkata, data pengguna Indonesia yang dipindahkan ke AS kekal berada dalam kerangka perlindungan undang-undang sedia ada dan tertakluk kepada jaminan keselamatan yang setimpal.

Dalam perkembangan sama, Indonesia dan AS turut bersetuju menghapuskan duti import ke atas transaksi elektronik antara kedua-dua negara bagi memperkukuh perdagangan digital dan meningkatkan kecekapan kos.

Airlangga menjelaskan dasar bebas duti itu tidak bersifat eksklusif kepada Amerika Syarikat semata-mata, memandangkan Indonesia sebelum ini telah melaksanakan pendekatan serupa dalam hubungan perdagangan dengan beberapa negara Eropah. – Agensi

Ringkasan AI

  • Kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat mencapai persetujuan penting dalam kerjasama perdagangan yang membolehkan pemindahan data pengguna rentas sempadan
  • Persetujuan tersebut adalah sebahagian daripada Perjanjian Tarif Timbal Balas antara kedua negara
  • Pengaliran data lintas negara dilaksanakan secara terhad dan tetap tertakluk pada undang-undang domestik Indonesia
  • Kesepakatan ini bertujuan mengurangkan halangan perdagangan bukan tarif dan menyokong transaksi ekonomi digital
  • Amerika Syarikat wajib menyediakan standard keselamatan data yang setara dengan peraturan perlindungan pengguna di Indonesia
Scroll to Top