
Indonesia kekal mencatat kadar pengangguran tertinggi ASEAN pada 2025 dengan 4.76 peratus, bersamaan tujuh juta individu tanpa pekerjaan. Foto Agensi
JAKARTA – Indonesia terus mencatat kadar pengangguran tertinggi dalam kalangan negara ASEAN pada 2025.
Menurut laporan Trading Economics pada 14 Ogos lalu, kadar pengangguran negara itu direkodkan sebanyak 4.76 peratus pada Mac 2025, bersamaan lebih tujuh juta individu tanpa pekerjaan.
Walaupun angka tersebut menunjukkan sedikit penurunan berbanding 4.91 peratus pada tahun sebelumnya, kedudukan Indonesia tidak berubah.
Jumlah penduduk yang mencecah sekitar 285 juta pada 2024 dikenal pasti sebagai faktor utama menyumbang kepada jumlah penganggur yang tinggi.
Berdasarkan laporan itu, Brunei Darussalam berada di kedudukan kedua dengan kadar 4.7 peratus, diikuti Filipina 3.7 peratus, manakala Malaysia dan Myanmar masing-masing pada kadar 3 peratus. Thailand dan Kemboja mencatatkan kadar paling rendah iaitu 0.89 dan 0.27 peratus.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini mengunjurkan kadar pengangguran Indonesia meningkat kepada 5 peratus pada 2025 dan 5.1 peratus pada 2026, dipacu ketidaktentuan ekonomi global.
Dasar tarif import Amerika Syarikat yang mula berkuat kuasa pada April lalu turut memberi kesan kepada perdagangan dan memperlahankan aktiviti sektor sebenar di banyak negara.
Berdasarkan perkembangan ini, penganalisis ekonomi menegaskan perlunya Indonesia memperkukuh dasar penciptaan pekerjaan yang lebih inklusif, termasuk galakan pelaburan domestik, pengembangan sektor perindustrian serta peningkatan kemahiran tenaga kerja. – Agensi