Jakarta: Kerajaan Indonesia menggesa jemaah umrah negara itu supaya tidak menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan yang memerlukan mereka melakukan transit di Malaysia dan Singapura.
Timbalan Menteri Haji Indonesia, Dahnil Anzar Simanjuntak berkata, jemaah disaran memilih penerbangan terus menggunakan syarikat penerbangan nasional bagi mengukuhkan ekonomi tempatan selain memastikan keselamatan perjalanan.
“Presiden Prabowo Subianto mahukan kedaulatan ekonomi. Perkara ini turut terpakai untuk pelaksanaan ibadah umrah dan haji.
“Penerbangan terus adalah lebih selamat dari sudut penerbangan, selain dapat mengukuhkan kedaulatan ekonomi negara,” katanya yang dipetik daripada laporan media tempatan, Sindo News, semalam.
Mengulas lanjut, Dahnil turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas kerjasama erat yang diberikan dalam menganjurkan ibadah umrah untuk jemaah Indonesia.
Menurutnya, kerajaan mahu memastikan semua jemaah dapat menjalani ibadah dengan sempurna serta pulang ke tanah air dengan selamat.
Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, Kementerian Haji Indonesia akan terus menyelaras kerjasama dengan persatuan Penyelenggara Perjalanan Ibadah Umrah (PPIU), syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




