Indonesia Halau Kapal Pengawal Pantai China Dari Laut Natuna Untuk Kali Ketiga | Oh! Media

Indonesia Halau Kapal Pengawal Pantai China Dari Laut Natuna Untuk Kali Ketiga | Oh! Media

Indonesia sekali lagi bertindak tegas dengan menghalau kapal Pengawal Pantai China (CCG-5402) dari perairan Laut Natuna Utara yang terletak di bahagian selatan Laut China Selatan.

Ini merupakan kali ketiga kapal tersebut memasuki kawasan itu dalam minggu yang sama sehingga mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.

Kapal China ganggu kajian minyak Pertamina di perairan…

Menurut Agensi Keselamatan Maritim Indonesia, kapal China tersebut bukan sahaja memasuki perairan mereka pada hari Isnin dan Rabu, malah turut mengganggu kajian minyak yang sedang dijalankan oleh Pertamina, syarikat minyak milik negara.

Walaupun ditegur oleh kapal ronda Indonesia, kapal China tetap berkeras bahawa kawasan itu di bawah bidang kuasa Beijing.

Namun, Indonesia menegaskan bahawa perairan itu diiktiraf sebagai wilayahnya di bawah undang-undang antarabangsa iaitu memberi hak penuh kepada Indonesia untuk meneroka sumber alam di tanpa gangguan.

Konflik Laut China Selatan…

Laut China Selatan yang kaya dengan sumber minyak dan gas sememangnya menjadi rebutan banyak negara. Pada tahun 2020, Indonesia pernah mengerahkan jet pejuang dan kapal perang ke kawasan ini untuk mempertahankan perairannya daripada ancaman kapal China.

Sementara itu, China tetap berpegang teguh dengan tuntutannya di hampir seluruh Laut China Selatan walaupun tribunal antarabangsa telah menolak kesahihan tuntutan itu.

Walaupun Beijing dan Jakarta mempunyai hubungan ekonomi yang kuat, namun Indonesia tetap tegas menghalang sebarang pencerobohan dalam usaha melindungi kedaulatan dan ekonomi negaranya.

#OhmediaNasihat

Kedaulatan negara adalah maruah yang perlu dipertahankan. Keberanian Indonesia ini adalah contoh penting bahawa dalam apa jua hubungan ekonomi atau diplomasi, hak dan kedaulatan tetap menjadi keutamaan.


Scroll to Top