Indonesia laksana dasar bekerja dari rumah, kurangkan perjalanan mulai 1 April

Indonesia laksana dasar bekerja dari rumah, kurangkan perjalanan mulai 1 April

JAKARTA – Indonesia akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (WFH) satu hari setiap minggu bagi penjawat awam mulai 1 April, bertujuan meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kesan tekanan ekonomi global.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, dasar itu mewajibkan penjawat awam di peringkat pusat dan wilayah bekerja dari rumah setiap Jumaat, sebagai sebahagian daripada transformasi budaya kerja nasional lapan perkara untuk menggalakkan amalan lebih cekap, produktif dan berteraskan digital.

Beliau berkata, pengaturan itu dijangka menjana penjimatan langsung kira-kira Rp6.2 trilion dalam pampasan bahan api, selain mengurangkan perbelanjaan bahan api awam sehingga Rp59 trilion melalui pengurangan mobiliti.

“Kerajaan mengambil langkah adaptif dan pencegahan bagi menangani dinamik global sambil memastikan rakyat kekal tenang dan produktif, memandangkan ekonomi negara kekal stabil dengan asas yang kukuh,” katanya pada sidang media, Selasa.

Bagi sektor swasta, Airlangga berkata, pelaksanaan WFH akan dipandu melalui pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Kerja dengan mengambil kira keperluan khusus setiap industri sambil menggalakkan amalan penjimatan tenaga.

Beliau menambah beberapa sektor akan dikecualikan dan terus beroperasi secara fizikal, termasuk perkhidmatan awam penting seperti kesihatan, keselamatan dan kebersihan, serta sektor strategik seperti tenaga, bekalan makanan, pengangkutan, logistik dan kewangan.

Selain dasar WFH, kerajaan akan mengurangkan penggunaan kenderaan rasmi sehingga 50 peratus dan mengehadkan perjalanan rasmi, dengan perjalanan domestik dikurangkan sehingga 50 peratus dan perjalanan ke luar negara sehingga 70 peratus, di samping menstruktur semula keutamaan perbelanjaan.

“Pemotongan bajet dibuat daripada perbelanjaan kurang keutamaan seperti perjalanan rasmi, mesyuarat, perbelanjaan bukan operasi dan aktiviti istiadat, dan disalurkan semula kepada perbelanjaan lebih produktif yang memberi impak langsung kepada rakyat, termasuk pemulihan dan pembinaan semula pascabencana di Sumatera.

“Kerajaan terus menggalakkan percepatan dan penajaman perbelanjaan kementerian dan agensi melalui pengoptimuman bajet. Potensi keutamaan dan penstrukturan semula bajet kementerian dan agensi dianggarkan antara Rp121.2 trilion hingga Rp130.2 trilion,” katanya.

Sementara itu, Airlangga menegaskan sekolah akan terus melaksanakan pembelajaran bersemuka lima hari seminggu, manakala institusi pengajian tinggi akan mengamalkan pengaturan fleksibel bagi pelajar tahun akhir selaras dengan garis panduan kementerian.

Bagi meningkatkan kemandirian dan kecekapan tenaga, beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan dasar B50 mulai 1 Julai 2026 yang berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api fosil sebanyak 4 juta kiloliter serta menjimatkan anggaran Rp48 trilion dalam subsidi.

Beliau menambah pembelian bahan api akan dikawal melalui sistem kod bar MyPertamina dengan had 50 liter bagi setiap kenderaan, kecuali pengangkutan awam. – Bernama

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Indonesia akan melaksanakan dasar WFH satu hari setiap minggu bagi penjawat awam mulai 1 April.
  • Dasar ini dijangka menjana penjimatan terus kira-kira Rp6.2 trilion serta mengurangkan perbelanjaan bahan api awam sehingga Rp59 trilion.
  • Pekeliling Kementerian Tenaga Kerja akan pandu pelaksanaan WFH sektor swasta.
  • Kerajaan akan kurangkan penggunaan kenderaan rasmi dan perjalanan rasmi sehingga 50%.
  • Dasar B50 akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2026 untuk kurangkan penggunaan bahan api fosil.
Scroll to Top