Indonesia rekodkan jumlah panggilan spam tertinggi di Asia Pasifik

Indonesia rekodkan jumlah panggilan spam tertinggi di Asia Pasifik

Jakarta: Indonesia direkodkan sebagai negara dengan jumlah panggilan spam tertinggi di rantau Asia Pasifik (APAC) berdasarkan kajian sebuah syarikat penyedia perkhidmatan perlindungan panggilan dari Amerika Syarikat (AS), Hiya, lapor Kompas.

Dalam laporan yang merumuskan aktiviti panggilan spam global bagi suku pertama 2025 (Januari hingga Mac), Hiya mencatatkan bahawa 89 peratus daripada jumlah panggilan daripada nombor tidak dikenali (bukan kenalan) di Indonesia dikategorikan sebagai panggilan spam.

Jumlah ini adalah yang tertinggi dalam kalangan negara-negara Asia Pasifik lain. Sebagai perbandingan, Hong Kong berada di kedudukan kedua dengan 70 peratus diikuti Filipina (55 peratus), Singapura (34 peratus) dan Malaysia (31 peratus).

Negara-negara lain seperti Australia (30 peratus), Turkiye (19 peratus), Thailand (19 peratus), India (16 peratus) dan New Zealand (7 peratus) juga termasuk dalam senarai.

Laporan ini berdasarkan data panggilan spam di lebih 40 negara, yang dikumpulkan melalui Rangkaian Keselamatan Suara Hiya.

Rangkaian ini merangkumi peranti yang menggunakan ciri Samsung Smart Call dan aplikasi Hiya. Dalam laporan ini, spam ditakrifkan sebagai panggilan yang tidak diingini merangkumi penipuan dan juga gangguan.

Tahap spam dikira berdasarkan panggilan daripada nombor tidak dikenali yang ditandai sebagai “berpotensi penipuan” atau “disyaki spam“. Data ini juga disusun daripada aduan pengguna Hiya yang melaporkan kategori spam.

Walaupun Hiya tidak mendedahkan secara khusus alasan Indonesia menjadi sasaran utama panggilan spam, syarikat itu menegaskan bahawa peratusannya jauh melebihi negara-negara jirannya.

Secara global, jumlah panggilan spam pada suku pertama 2025 mencecah 12.5 bilion, meningkat daripada 11.3 bilion pada suku sebelumnya. Ini bermakna, secara purata terdapat kira-kira 137 juta panggilan spam setiap hari di seluruh dunia.

Daripada jumlah panggilan spam itu, 24 peratus daripadanya adalah panggilan yang mengganggu. Ini termasuk panggilan daripada pemungut hutang, telepemasaran, tinjauan politik dan lain-lain.

Sebanyak sembilan peratus lagi adalah panggilan penipuan seperti panggilan daripada pihak yang mengaku sebagai pasukan sokongan jenama tertentu, penipuan berkaitan cukai dan sebagainya manakala baki 67 peratus lagi adalah panggilan lain di luar dua kategori itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top