
Jemaah haji Indonesia beratur untuk pemeriksaan kesihatan sebelum berlepas ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji tahunan, di Banda Aceh. Foto AFP
JAKARTA – Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Nasaruddin Umar sedang mengadakan rundingan diplomatik dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi memohon fleksibiliti dalam penetapan had umur jemaah haji dari republik itu.
Ketika ini, dasar semasa menetapkan had umur maksimum sekitar 90 tahun, namun Nasaruddin berpendirian kelayakan menunaikan haji seharusnya ditentukan berdasarkan tahap kesihatan, bukan sekadar faktor usia.
Pendekatan ini selaras dengan Keputusan Presiden Indonesia Nombor 6 Tahun 2025, yang mengutamakan kecergasan fizikal dalam menentukan kelayakan seseorang jemaah.
Sehingga 3 Mac lalu, data rasmi menunjukkan seramai 165,613 jemaah atau 82.37 peratus daripada keseluruhan bakal haji Indonesia telah memenuhi syarat kesihatan yang ditetapkan.
Dalam pertemuan dengan pegawai Kementerian Haji dan Kesihatan Arab Saudi, Nasaruddin menekankan keperluan peralihan dasar bagi membolehkan warga emas yang sihat menunaikan ibadah tanpa sekatan umur yang ketat.
“Perbincangan ini membawa kepada pemahaman bersama mengenai sistem kelayakan berasaskan kesihatan,” katanya.
Sekiranya cadangan ini diterima, ia bakal memberi peluang kepada lebih ramai bakal haji warga emas dari Indonesia untuk menunaikan rukun Islam kelima tanpa kekangan usia.
Untuk musim haji tahun ini, Indonesia dijangka menghantar 221,000 jemaah, dengan tambahan 2,210 pegawai bagi menguruskan perjalanan ibadah rakyatnya ke Tanah Suci.
Sebagai negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia, Indonesia terus berusaha memastikan pengurusan haji yang lebih inklusif dan mesra jemaah. – Agensi