Indonesia sahkan penerbangan antarabangsa diteruskan

Indonesia sahkan penerbangan antarabangsa diteruskan

Jakarta: Indonesia pada Rabu memberi jaminan bahawa operasi penerbangan antarabangsa akan diteruskan susulan perkembangan semasa di Asia Barat, sambil menafikan laporan terdahulu yang mendakwa operasi itu digantung.

Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi berkata, kerajaan komited untuk mengekalkan ketersambungan global serta mobiliti penumpang.

“Terdahulu terdapat berita berkaitan penutupan, kerajaan dimaklumkan kononnya akan berlaku penggantungan penerbangan antarabangsa.

“Kami boleh mengesahkan bahawa berita itu tidak benar. Media berkenaan juga sudah membuat penjelasan dan menarik balik laporan berkenaan,” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA.

Ketua Pengarah Penerbangan Awam Lukman F Laisa pada Selasa turut menafikan laporan bahawa semua penerbangan antarabangsa dihentikan susulan situasi di Asia Barat.

Dalam kenyataan itu, Lukman berkata, pihak berkuasa terus memantau rapi perkembangan yang menjejaskan operasi penerbangan antarabangsa, di samping memastikan pengendalian penumpang kekal selamat, teratur dan diselaraskan dengan baik.

Beliau menambah bahawa setakat 17 Mac, dua pesawat Qatar Airways masih terkandas di Indonesia, masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top