JAKARTA – Indonesia telah menerima jenazah tiga anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbunuh di selatan Lubnan semasa pencerobohan Israel ke atas negara itu, dalam konflik berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.
Keranda ketiga-tiga anggota yang terkorban tiba di Indonesia pada Sabtu.
Jenazah dibawa oleh pegawai berpakaian seragam dalam satu upacara yang dihadiri Presiden Prabowo Subianto.
Selepas upacara tersebut, Menteri Luar Sugiono memberitahu wartawan, Indonesia mahukan satu siasatan PBB yang menyeluruh terhadap kematian anggota pengaman yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
“Ini adalah misi pengaman. Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” kata beliau kepada wartawan di lapangan terbang.
“Perlu ada jaminan keselamatan untuk anggota tentera pengaman,” tambahnya.
Minggu lalu, seorang anggota pengaman, Farizal Rhomadhon, 28, terbunuh selepas satu peluru meletup.
Seorang sumber keselamatan PBB memberitahu agensi berita AFP pada Selasa, tembakan daripada sebuah kereta kebal Israel bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Sehari kemudian, dua lagi anggota pengaman Indonesia, Zulmi Aditya Iskandar, 33, dan Muhammad Nur Ichwan, 26, terbunuh selepas satu letupan mengenai konvoi logistik UNIFIL di selatan Lubnan.
Bapa Iskandar berkata, beliau terkejut apabila mengetahui anggota pasukan pengaman kehilangan nyawa dalam konflik tersebut.
“Kami benar-benar sedih dan kecewa, kerana ini adalah pasukan PBB, pasukan pengaman, bukan dikerahkan untuk berperang,” kata Iskandarudin, 60, kepada wartawan di rumahnya di wilayah Jawa Barat.
Ketiga-tiga mangsa dijangka dikebumikan pada Ahad dan kerajaan berjanji akan menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga mereka.
Pada Jumaat, UNIFIL mengumumkan tiga anggota pengaman cedera selepas satu letupan berlaku di sebuah kemudahan PBB berhampiran Adeisse, dan telah dibawa ke hospital.
Pusat Maklumat PBB di Jakarta berkata “punca letupan tersebut” tidak diketahui, namun mengenal pasti anggota yang cedera sebagai rakyat Indonesia.
“Serangan berulang atau insiden seumpama ini tidak boleh diterima,” kata Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan.
Kerajaan Indonesia menggesa Majlis Keselamatan PBB agar “segera mengadakan mesyuarat negara-negara penyumbang tentera kepada UNIFIL untuk menjalankan penilaian dan mengambil langkah-langkah bagi mempertingkat perlindungan kepada anggota yang berkhidmat dengan UNIFIL.”
Perang antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran merebak ke Lubnan selepas Hezbollah, kumpulan yang bersekutu dengan Iran, melancarkan serangan roket ke atas Israel, susulan pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada hari pertama perang tersebut, 28 Februari.
Israel telah mengebom Lubnan selama beberapa minggu dan melancarkan pencerobohan darat, dengan pegawai Israel menyatakan misi tersebut bertujuan mewujudkan zon keselamatan sejauh 30 kilometer (18.6 batu) dari sempadan Israel. – Awani


