Indonesia tuntut ganti rugi AS$200 juta daripada 6 syarikat punca banjir

Indonesia tuntut ganti rugi AS0 juta daripada 6 syarikat punca banjir

Jakarta: Kerajaan Indonesia memfailkan beberapa tuntutan mahkamah bagi mendapatkan ganti rugi melebihi AS$200 juta terhadap enam firma. Tindakan ini diambil susulan kejadian banjir maut yang memusnahkan Sumatera hingga mengorbankan lebih 1,000 nyawa pada tahun lalu.

Pencinta alam sekitar, pakar dan pihak kerajaan menyifatkan aktiviti penebangan hutan sebagai punca utama bencana itu. Kejadian itu mengakibatkan lumpur deras serta sisa kayu balak hanyut melanda perkampungan di bahagian barat laut pulau berkenaan.

Kementerian Alam Sekitar pada Khamis memaklumkan kerajaan sedang menuntut 4.8 trilion rupiah (AS$283.8 juta) daripada enam syarikat yang didakwa melakukan kerosakan di kawasan seluas lebih 2,500 hektar.

Jumlah itu merangkumi denda bagi kerosakan dan nilai kewangan yang dicadangkan untuk usaha pemulihan.

Kementerian itu enggan mengulas lanjut ketika bercakap kepada AFP mengenai dakwaan kerosakan yang disebabkan oleh defendan. Nama syarikat hanya disenaraikan menggunakan huruf awalan dalam kenyataan itu.

Saman itu difailkan di mahkamah Jakarta dan Medan, Sumatera Utara pada Khamis.

“Kami berpegang teguh pada prinsip pencemar yang membayar,” kata Menteri Alam Sekitar, Hanif Faisol Nurofiq dalam satu kenyataan.

Hanif pada Khamis turut memberi amaran bahawa mana-mana perbadanan yang mengaut keuntungan dengan merosakkan ekosistem mesti bertanggungjawab sepenuhnya untuk memulihkannya kembali.

Kumpulan alam sekitar berpendapat kerajaan juga memikul sebahagian tanggungjawab kerana memberi hak kepada syarikat untuk meratakan kawasan tanah yang luas.

Kempen hutan Greenpeace Indonesia, Arie Rompas menyifatkan tindakan undang-undang itu sebagai langkah “minimalis” dan menambah bahawa pihak berkuasa harus menyemak semula dasar yang menjadi punca bencana secara menyeluruh.

“Selain kesan krisis iklim, banjir ini juga berpunca daripada degradasi tanah termasuk penebangan hutan yang dilakukan oleh perbadanan,” kata Arie kepada AFP.

“Syarikat-syarikat ini diberi permit oleh kerajaan.”

Aktiviti perlombongan, perladangan dan kebakaran mengakibatkan pembersihan kawasan hutan hujan Indonesia yang luas sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Lebih 240,000 hektar hutan primer musnah pada 2024, menurut analisis projek “Nusantara Atlas” oleh syarikat pemula pemuliharaan, The TreeMap.

Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni pada bulan lalu berkata kerajaan akan membatalkan 22 permit perhutanan di seluruh negara, termasuk permit yang meliputi lebih 100,000 hektar di Sumatera.

Raja Juli tidak menjelaskan sama ada keputusan itu berkait dengan bencana yang berlaku, walaupun sebelum ini menyatakan banjir itu memberi peluang untuk “menilai dasar kami.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top