Industri acara perniagaan tawar khidmat jadi PPV

Industri acara perniagaan tawar khidmat jadi PPV

fahmy.azril@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pembabitan industri acara perniagaan dapat membantu mempercepatkan proses vaksinasi negara.

Pengerusi Persidangan dan Pameran Asia Pasifik Majlis Penasihat Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata pihaknya bersedia jika diberi peluang membantu kerajaan menjayakan program vaksinasi kebangsaan.

Beliau berkata, kemudahan yang dimiliki industri acara perniagaan dapat menampung jumlah pengunjung yang ramai, sekali gus berupaya mempercepat pelaksanaan pemberian suntikan imunisasi di negara ini.

“Industri acara perniagaan sedia menawarkan perkhidmatan dan ruang acara dalam membantu kerajaan untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia.

“Perkhidmatan industri acara perniagaan merangkumi penggunaan ruang acara yang mampu menampung kapasiti pengunjung berskala besar.

“Selain itu, penganjur berpengalaman dalam aspek kawalan orang ramai dan memastikan penjarakan fizikal dilaksanakan bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Memberi contoh keupayaan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Irmohizam berkata, WTCKL berpengalaman lebih 35 tahun dalam mengendalikan pelbagai acara tempatan dan antarabangsa.

Katanya, ia memberi kelebihan kepada WTCKL menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega pertama di Malaysia.

Terkini, katanya, seramai 347,300 orang menerima suntikan vaksin AstraZeneca di PPV WTCKL.

“Kami mengharapkan kerjasama pelbagai pihak supaya program vaksinasi di seluruh negara dapat digiatkan dengan lebih cepat.

“Keluasan dan kapasiti dewan di WTCKL mampu menampung lebih 20,000 penerima vaksin sehari.

“Kami bersedia menyokong usaha kerajaan terutama bagi program vaksinasi.

“Lebih cepat kita capai imuniti kelompok, lebih cepat untuk kita kembali menjalani kehidupan secara normal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top