zanariah_mutalib@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) akan terus memperkasa pembangunan industri buluh di negara ini, dengan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 70 spesies buluh, yang mana 45 daripadanya adalah spesies tempatan yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan.
Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 577 pengusaha yang terbabit secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia, merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang buluh dan kraftangan.
“Kementerian yakin, dengan inisiatif seperti program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimakan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif yang bernilai tambah dalam industri perkayuan.
“Ia seterusnya menjadi satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan menjana ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zuraida berkata, dalam usaha menggalakkan pembangunan industri buluh, satu Pusat Sehenti Buluh dibangunkan di Tadom Hill Resort, Banting, yang akan berperanan sebagai pusat rujukan setempat industri buluh.
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penubuhan pusat sehenti berkenaan disaksikan sendiri oleh beliau, antara MITB, MTC dan Tadom Hill Resort Sdn Bhd.
“Pusat Sehenti Buluh yang akan dibina ini bakal menjadi pusat maklumat dan rujukan kepada lebih ramai usahawan buluh Malaysia sepanjang rantaian nilai industri buluh.
“Selain itu, pusat rujukan ini akan berperanan sebagai pusat maklumat setempat termasuk promosi, penyelidikan dan pembangunan berkaitan industri buluh di Malaysia,” katanya.
Zuraida memaklumkan, Tadom Hill Resort yang berkeluasan 18.2 hektar adalah pusat penginapan ekopelancongan, bertemakan taman buluh yang unik dan dikelilingi kampung Orang Asal dari Suku Temuan.
“Selain ekopelancongan, Tadom Hill juga mengambil langkah proaktif menghasilkan produk buluh komersial seperti cuka dan bio-arang buluh (bamboo bio-char).
“Usaha ini selari dengan hasrat kerajaan dalam usaha mentransformasi industri buluh bagi peralihan struktur industri kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh bernilai tambah tinggi dan lestari, yang menjadi antara fokus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd