Industri hiburan kehilangan seorang permata – Seniman

Industri hiburan kehilangan seorang permata – Seniman

KUALA LUMPUR – Industri hiburan tanah air hari ini kehilangan seorang lagi permata selepas pemergian penyanyi, pelakon dan pelawak, Ahmad Hamdan Mohamed Ramli atau lebih popular dengan nama pentas Hamdan Senario.

Setiausaha Agung, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah menerusi satu kenyataan berkata, allahyarham meninggal dunia pukul 12.50 tadi pada usia 54 tahun di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Beliau berkata, arwah meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah, komplikasi jantung dan buah pinggang.

“Dukacita dimaklumkan bahawa seorang lagi permata industri hiburan tanah air Allahyarham Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli atau lebih popular dengan nama pentasnya Hamdan Senario telah kembali kerahmatullah pada jam 12.50 tengahari tadi di Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu pada usia 54 tahun.

“Seluruh Kepimpinan Tertinggi dan Barisan Exco Seniman Malaysia mengucapkan takziah buat ahli keluarga dan semoga tabah hadapi ujian ini,” katanya.

Hafiz memberitahu, jenazah akan dimandikan di hospital sebelum dibawa pulang ke rumah arwah di Ipoh dan dijangka tiba pukul 8.30 malam ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

Hamdan Senario yang dilahirkan di Batu Gajah, Perak mula mencipta nama selepas menyertai program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1995.

Bersama Ilya dan Wahid, kumpulan itu memenangi pertandingan tersebut pada tahun berkenaan.

Hamdan pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Aku Kaya The Movie (2003), Tipah Tertipu The Movie, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita, Kemarau Cinta, Salah Bapak (2006), Zombi Kampung Pisang (2007), Senario The Movie: Episode 1 (2008) dan yang terbaru pada tahun 2022 Jaga-Jaga Senariounion dan Abang Long Fadil 3.

Allahyarham juga telah berlakon ratusan drama di televisyen sejak berada di dalam industri hiburan negara. – MalaysiaGazette