PETALING JAYA: Industri kreatif perlu disematkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama serta masyarakat dalam menghasilkan karya, bukan sekadar menitikberatkan aspek kreativiti dan nilai komersial demi penghasilan kandungan berkualiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Zamri Zainal Abidin berkata, ini kerana industri kreatif mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pemikiran dan nilai masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Yadim menyokong pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berhubung isu kandungan drama Madu atau Racun yang mencetuskan perhatian dan perbincangan masyarakat baru-baru ini.
“Peranan dakwah bukan sekadar memberi teguran apabila timbul kontroversi, sebaliknya turut membantu membina kefahaman dan keupayaan pemain industri dari peringkat awal penghasilan karya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak tayangan drama Madu atau Racun yang didakwa menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Zamri berkata, antara pendekatan Yadim ialah menerusi Layar Dakwah Yadim (LDY) anjuran badan dakwah itu yang kini memasuki tahun kedua.
Katanya, LDY bertujuan memberi pendedahan kepada pemain industri mengenai dunia perfileman dari sudut dakwah, termasuk aspek penulisan, produksi dan penghasilan karya yang mengambil kira nilai serta prinsip Islam.
Beliau berkata, usaha berkenaan penting dalam membina pemain industri yang bukan sahaja kreatif dan berkualiti, tetapi turut cakna terhadap syariah serta bertanggungjawab terhadap kandungan yang dihasilkan.
Katanya, Yadim akan terus memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dan pihak berkepentingan bagi membina ekosistem kandungan yang berkualiti, mendidik dan bertanggungjawab serta selari dengan prinsip syariah.
Dalam masa yang sama katanya, usaha itu menjadikan industri kreatif sebagai ruang menyebarkan nilai kebaikan kepada masyarakat. – UTUSAN
