Beirut: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino bakal diberikan kerakyatan Lubnan selepas Presiden negara itu, Joseph Aoun menyatakan persetujuan untuk meluluskan permohonan berkenaan, kata Presiden Persatuan Bolasepak Lubnan (LFA), Hashem Haidar.
“Presiden memaklumkan (Infantino) mengenai perintah rasmi itu dan dokumen yang diperlukan untuk melengkapkan proses berkenaan,” kata Haidar kepada AFP, sambil menjelaskan pemberian kerakyatan itu dibuat kerana Infantino dianggap tokoh awam yang memberi ‘khidmat kepada Lubnan”.
Seorang pegawai kerajaan turut mengesahkan perkara itu kepada AFP.
Infantino, 55, yang berasal dari Switzerland dan Itali, berkahwin dengan wanita Lubnan, Leena al-Ashqar, bekas kakitangan LFA.
“Saya belum terima lagi, tapi tak lama. Saya bangga dan gembira… saya rasa saya sudah lama pun menjadi rakyat Lubnan, cuma kini ia diformalkan,” kata Infantino kepada saluran LBCI.
Menurut laman web LFA, Presiden Aoun meminta Infantino melengkapkan dokumen undang-undang yang diperlukan untuk memuktamadkan perintah rasmi kerakyatan itu.
Dalam masa sama, Infantino berkata, Lubnan memerlukan sebuah stadium bola sepak moden.
“Kami sedang meneliti pembinaan stadium baharu berkapasiti 20,000 hingga 30,000 penonton,” katanya sambil menegaskan stadium masa kini adalah simbol negara dan pelaburan untuk masa depan belia.
Haidar turut mendedahkan bahawa Infantino bersetuju menanggung sepenuhnya kos pembinaan stadium itu.
“Tugas kami hanya menyediakan tanah di Beirut, selebihnya mereka akan uruskan,” katanya.
Setakat ini, stadium terbesar negara itu ialah Stadium Bandar Sukan Camille Chamoun yang mampu memuatkan sekitar 50,000 penonton, namun fasiliti berusia lebih 60 tahun itu mengalami penyusutan kualiti akibat kurang penyelenggaraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




