Infantino cadang kad merah buat pemain tutup mulut ketika bercakap

Infantino cadang kad merah buat pemain tutup mulut ketika bercakap

PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mencadangkan agar pemain yang menutup mulut ketika bercakap dengan pemain lawan dilayangkan kad merah, susulan dakwaan perkauman membabitkan pemain Benfica, Gianluca Prestianni.

Sebelum ini, Prestianni didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman terhadap Vinicius sambil menutup mulut menggunakan jersi ketika perlawanan berlangsung.

Isu tersebut telah dibangkitkan pada mesyuarat Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) yang berlangsung pada Sabtu.

“Jika seorang pemain menutup mulutnya dan mengatakan sesuatu, dan ia mempunyai implikasi perkauman, maka dia semestinya perlu diarahkan keluar padang (kad merah).

“Pasti wujud andaian bahawa dia telah menyatakan sesuatu yang tidak sepatutnya, jika tidak, dia tidak perlu berbuat demikian (menutup mulut).

“Saya secara peribadi tidak faham jika anda tiada apa-apa untuk disembunyikan, anda tidak akan menutup mulut ketika bercakap. Ia semudah itu.

“Ini adalah antara tindakan yang boleh dan mesti kita ambil bagi menunjukkan keseriusan kita dalam perjuangan memerangi perkauman,” tegasnya.

Kongres FIFA seterusnya dijadualkan berlangsung bulan depan di Vancouver, di mana badan induk bola sepak dunia itu dijangka memutuskan sama ada mahu melaksanakan langkah bagi menghalang pemain daripada menutup mulut pada saingan Piala Dunia tahun ini.

Dalam pada itu, Infantino turut menyuarakan kemungkinan untuk mengenakan hukuman yang berbeza bagi kes perkauman, bergantung kepada sama ada pemain yang bersalah itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Mungkin kita juga harus berfikir bukan sekadar untuk menghukum, tetapi mengubah budaya kita dengan memberi ruang kepada pemain atau sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan untuk memohon maaf.

“Seseorang mungkin melakukan sesuatu di luar kawalan ketika dalam keadaan marah. Namun, jika dia memohon maaf, maka hukumannya mungkin perlu berbeza, kita harus memikirkan pendekatan sebegini sebagai satu langkah ke hadapan.” katanya.

Untuk rekod, Prestianni kini digantung sementara untuk perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara sementara menunggu hasil siasatan daripada pihak Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Pemain tersebut berdepan hukuman gantung 10 perlawanan jika didapati bersalah, namun dia sehingga kini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan rasis ke atas Vinicius.

Ringkasan AI

  • Presiden FIFA, Gianni Infantino mencadangkan kad merah untuk pemain yang menutup mulut ketika bercakap sebagai langkah perangi perkauman
  • Pemain Benfica, Gianluca Prestianni, didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman sambil menutup mulut dengan jersi
  • Isu tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat IFAB, menunjukkan keseriusan FIFA memerangi perkauman
  • Infantino menyarankan hukuman berbeza bagi kes perkauman yang diikuti permohonan maaf secara terbuka
  • Prestianni digantung sementara menunggu keputusan siasatan UEFA, berdepan hukuman gantung 10 perlawanan jika bersalah
Scroll to Top