Dubai: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, mempertahankan harga tiket Piala Dunia 2026 yang mencetus kontroversi, sambil mendedahkan penganjur menerima rekod 150 juta permintaan tiket dalam tempoh dua minggu lalu.
Berucap pada Sidang Kemuncak Sukan Dunia di sini, Infantino menegaskan semua hasil pendapatan daripada Piala Dunia tahun depan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada akan disalurkan semula untuk pembangunan bola sepak di seluruh dunia.
Kenyataan itu adalah ulasan terbuka pertama Infantino sejak isu harga tiket tercetus awal bulan ini, dengan kumpulan penyokong menyifatkan harga tiket sebagai ‘terlalu mahal’ dan ‘melampau’.
Sebagai tindak balas kepada kritikan, FIFA sebelum ini mengumumkan sebahagian kecil tiket akan dijual pada harga AS$60 (RM243).
“Sejak beberapa hari lalu, anda mungkin melihat banyak perdebatan mengenai tiket dan harga tiket,” kata Infantino pada persidangan itu.
“Kami mempunyai enam hingga tujuh juta tiket untuk dijual dan jualan bermula dua minggu lalu. Dalam tempoh dua minggu atau 15 hari, kami menerima 150 juta permintaan tiket. Ini menunjukkan betapa kuatnya tarikan Piala Dunia.”
Infantino berkata, sebahagian besar permintaan tiket datang dari AS, diikuti Jerman dan Britain.
“Dalam tempoh 100 tahun sejarah Piala Dunia, FIFA menjual 44 juta tiket secara keseluruhan. Jadi dalam dua minggu sahaja bagi Piala Dunia akan datang, kita boleh memenuhi 300 edisi Piala Dunia,” katanya.
“Ini sesuatu yang luar biasa. Apa yang penting, hasil yang dijana akan dikembalikan semula kepada bola sepak di seluruh dunia dan FIFA adalah satu-satunya organisasi yang membiayai bola sepak di peringkat global.
“Tanpa FIFA, tidak akan ada bola sepak di 150 negara di dunia. Bola sepak wujud hasil daripada pendapatan Piala Dunia yang kami jana dan laburkan semula ke seluruh dunia,” katanya.
Kumpulan Penyokong Eropah (FSE), antara pengkritik paling lantang terhadap strategi harga tiket FIFA bagi Piala Dunia 2026.
FSE mendakwa awal bulan ini bahawa harga tiket edisi 2026 hampir lima kali ganda lebih mahal berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




