Infaq 10 biji telur setiap hari

Infaq 10 biji telur setiap hari

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Bota: Keinginan berkongsi rezeki mendorong wanita ini menginfaq telur hasil ayam ternakannya. Izaziah Morni Mohamad, 44, atau dikenali Puan Jijah di media sosial melakukannya dengan cara tersendiri iaitu menggantung bungkusan plastik berisi 10 biji telur pada satu tiang di tepi jalan berhampiran rumahnya di Kampung Kubang Ikan, di sini.

Menurutnya, inisiatif itu baru bermula, namun menjadi kebiasaannya untuk memberi telur kepada individu terdekat, keluarga mentua dan saudara-mara yang datang ke rumahnya sebelum ini.

“Saya ternak ayam kampung dan ayam penelur. Ada lebih kurang 20 ekor dan telur bertambah setiap bulan.

“Jadi, itu yang buat saya terfikir nak infaq jika ada lebihan telur dan syukur kerana sehingga kelmarin, sudah empat kali saya berpeluang kongsi rezeki.

“Orang lain mungkin buat infaq di masjid tapi saya di tepi jalan. Saya buat dengan letakkan plakad bertulis infaq telur 10 biji sehari.

“Saja nak kongsi rezeki dan suami pun sokong jadi moga dapat cari pahala dengan cara begini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Izaziah Morni, telur yang diinfaq itu bukan hanya untuk penduduk setempat, tetapi bebas diambil sesiapa saja.

“Siapa yang cepat, dia akan dapat tak kisah nak ambil berapa biji pun selagi masih ada.

“Cuma lebih baik jika ia diambil mereka yang memerlukan. Mungkin di rumah mereka ada nasi tapi tiada telur jadi dapat membantu.

“Kalau boleh, setiap hari saya nak buat kerana ingat pesan Rasulullah SAW untuk bersedekah dan buat kebaikan walaupun dengan sebiji kurma,” katanya yang juga pencinta haiwan kerana turut menternak kambing dan itik selain memelihara kucing.

Selagi diizinkan Allah SWT, Izaziah Morni mahu terus berkongsi rezeki dan perancangan akan datangnya adalah mewujudkan komuniti yang membolehkan membekalkan makanan khususnya buat golongan B40.

“Saya nampak ada keperluan bantu terutama dalam agihan makanan. Cuma mungkin boleh perluaskan dengan buat sistem barter atau tukar barang sebagai alternatif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top