Inferno3 Lancar Single Debut Money, Bergandingan Dengan Shiha Zikir

Inferno3 Lancar Single Debut Money, Bergandingan Dengan Shiha Zikir

Industri muzik tempatan menerima nafas segar apabila Inferno3 muncul sebagai kumpulan gadis terbaharu yang mempertaruhkan single debut berjudul Money, sekali gus menandakan langkah awal mereka dalam dunia nyanyian secara lebih serius.

Inferno3 yang dianggotai oleh Hannis, 15, Hannah, 17, dan Eva, 17, tampil dengan pakej tarian yang mantap serta vokal yang diyakini, menerusi kolaborasi bersama artis berpengalaman, Shiha Zikir.

Hannis menyifatkan peluang yang diterima sebagai satu rezeki besar buat mereka bertiga, terutama apabila dapat berkongsi mikrofon dengan Shiha.

“Syukur sangat dapat mulakan perjalanan ini dengan single pertama. Lagi bermakna sebab dapat nyanyi sekali dengan Shiha. Bukan mudah dapat peluang macam ini, memang rasa bertuah,” katanya.

Hannah pula mengakui perjalanan merakam Money bukan sekadar pengalaman studio, sebaliknya ruang pembelajaran yang membuka banyak perspektif baharu.

“Kami memang rasa Inferno3 sangat bertuah. Shiha banyak beri tunjuk ajar, dari cara bawa lagu sampai cara kawal keyakinan. Banyak ilmu yang dapat,” ujarnya.

Eva turut berkongsi debaran yang dirasai kerana projek ini bukan sahaja melibatkan rakaman lagu, malah Shiha turut bersama mereka dalam tarian untuk video muzik.

“Saya teruja, tapi pada masa sama gementar. Shiha bukan sekadar menyanyi dengan kami, malah menari sekali. Bila artis yang lebih senior sudi turun padang macam itu, rasa dihargai dan makin yakin,” katanya.

Eva menambah, pengalaman ini memberi semangat untuk mereka terus meneroka peluang lain dalam industri seni, selagi diberi ruang dan bimbingan yang betul.

Single Money merupakan hasil kerjasama Shiha Zikir Empire bersama Sony Music Entertainment Malaysia dan membawa tema realiti kehidupan moden iaitu manusia perlukan wang untuk meneruskan hidup tanpa mengira usia.

Inferno3 sependapat bahawa mesej lagu tersebut dekat dengan pendengar, lebih-lebih lagi dalam suasana masa kini yang menuntut usaha berterusan.

Bagi memastikan persiapan mencukupi, Shiha turut mengadakan beberapa sesi latihan sebelum rakaman. Eva menjelaskan mereka lebih biasa dengan tarian, manakala nyanyian merupakan cabaran baharu yang memerlukan masa untuk dibentuk.

“Nyanyian memang sesuatu yang baru untuk kami, jadi latihan sampai rakaman itu sangat ‘bernilai’. Shiha bukan garang, cuma tegas dan memang teliti, terutama bila melibatkan konsep dan ‘vibe’ lagu,” katanya.

Pengalaman rakaman video muzik juga meninggalkan kesan tersendiri apabila penggambaran dilakukan di lokasi bangunan terbiar. Hannis berkata situasi itu memberi cabaran, namun kekal menyeronokkan dengan pemantauan keselamatan yang rapi.

“Ini kali pertama kami rakam video muzik, memang seronok dan mencabar. Lokasi agak ‘creepy’, ada rasa takut, tapi semuanya terkawal sebab keselamatan dijaga,” katanya.

Hannah turut merakamkan penghargaan kepada koreografer Ezra Tham yang membimbing mereka dengan penuh komitmen.

“Kami berlatih beberapa hari sebelum penggambaran. Cara Ezra ajar mudah untuk kami faham dan latihan itu buat kami lebih bersedia,” ujarnya.

Shiha pula melihat Inferno3 sebagai pendatang baharu yang punya potensi kerana usia yang muda serta pengalaman tarian yang sudah terbina.

“Bukan mudah nak ada kumpulan yang boleh menari dan pada masa sama menyanyi dengan baik. Mereka memang kuat dari segi tarian, jadi kami ambil masa untuk pastikan vokal pun bersedia sebelum single ini dilancarkan,” katanya.

Shiha turut menegaskan fokus pengurusan bukan untuk bersaing dengan mana-mana kumpulan lain, sebaliknya membentuk identiti sendiri dan menjadi pengaruh positif dalam kalangan remaja.

Dalam masa yang sama, aspek akademik terus diberi perhatian. Shiha menjelaskan keluarga anggota Inferno3 turut meletakkan syarat supaya pendidikan tidak diabaikan walaupun aktif dalam bidang hiburan.

“Mereka pandai bahagi masa. Itu yang saya suka, minat seni jalan, pelajaran pun dijaga. Harapnya ini boleh jadi contoh kepada remaja lain yang ada impian dalam seni,” katanya.

Shiha turut mendedahkan Money pada asalnya dirancang sebagai lagu solo, namun keputusan diubah selepas merasakan konsepnya lebih sesuai dikongsi bersama Inferno3.

“Bila saya dapat lagu ini, saya memang suka bunyi dan ‘feel’ dia. Asalnya untuk saya seorang, tapi saya nampak ia juga sesuai untuk Inferno3. Saya minta tambah beberapa bahagian seperti dance break supaya kekuatan tarian mereka lebih terserlah,” katanya.

Shiha menambah, lagu ini membawa energi girl group yang kuat dan liriknya menggambarkan dunia hari ini yang menuntut usaha kerana apa sahaja yang ingin dilakukan perlukan duit.

Single Money dilancarkan secara rasmi di platform digital pada 9 Januari 2026, manakala video muzik rasmi telah dimuat naik di saluran YouTube Shiha Zikir Empire.

Shiha berharap karya ini dapat membuka ruang lebih luas untuk muzik pop tempatan, di samping mengajak pendengar memberi sokongan kepada M-Pop.

Scroll to Top