am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Kewajipan pemakaian pelitup muka di sekolah susulan dakwaan peningkatan jangkitan influenza bergantung kepada saranan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan syor daripada KKM berhubung perkara berkenaan bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit itu.
“Kalau ada pedoman (saranan) dan arahan daripada KKM kita akan ikut dan tak ada masalah setakat ini di peringkat kami untuk melaksanakan sebarang saranan dan syor daripada KKM.
“Jadi kita masih menunggu saranan (pemakaian pelitup muka) daripada KKM,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan beberapa sekolah yang mewajibkan pelajar memakai pelitup muka bagi mengekang penularan influenza.
Terdahulu, Fadhlina ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli 2025 anjuran bersama Wanita Keadilan Pulau Pinang dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Dewan Yayasan Aman, Kubang Semang di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kes jangkitan influenza di Pulau Pinang masih berada pada tahap terkawal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




