Influenza: Perkukuh pendidikan kesihatan di sekolah

Influenza: Perkukuh pendidikan kesihatan di sekolah

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Peningkatan kes influenza dalam kalangan murid adalah isu kesihatan sekolah yang perlu dipandang serius.

Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Mohamad Zapawi Mamat berkata, dalam ruang lingkup pendidikan, langkah utama yang wajar diambil ialah memperkukuh pendidikan kesihatan di sekolah.

“Guru boleh menyalurkan maklumat tepat mengenai simptom, cara jangkitan dan langkah pencegahan influenza melalui sesi bimbingan, perhimpunan atau aktiviti kelab kesihatan.

“Selain itu, pihak sekolah perlu memastikan kebersihan persekitaran sentiasa terpelihara serta menggalakkan amalan mencuci tangan, memakai pelitup muka dan berehat di rumah bagi murid yang bergejala,” katanya.

Menurutnya, langkah itu perlu bagi membendung penularan jangkitan yang kini dilaporkan semakin membimbangkan terutama di peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Dalam hal ini, kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan Pejabat Kesihatan Daerah amat penting bagi mengawal penularan dan memastikan proses pembelajaran tidak terganggu, ” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar murid yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi seperti mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik, mendapatkan vaksin influenza sebagai langkah perlindungan.

“Pihak sekolah disarankan menjalankan saringan kesihatan secara berkala serta mewujudkan bilik isolasi sementara bagi murid yang bergejala.

“Kesedaran dan pendidikan kesihatan kepada murid, guru dan ibu bapa juga harus diperhebatkan bagi membendung penularan wabak ini dengan lebih berkesan,” katamya.

Harian Metro semalam melaporkan, kira-kira 6,000 murid dan pelajar sekolah dikesan dijangkiti virus influenza setakat ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad dilaporkan berkata, susulan itu, beberapa sekolah melaksanakan arahan penutupan sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memantau perkembangan jangkitan berkenaan selain akur jika ada sekolah perlu ditutup demi keselamatan pelajar dan warga sekolah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top