‘Ingat PKR dah berani pecat saya…’
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengesahkan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada partinya atas alasan didakwa telah mengisytiharkan keluar parti.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, perkara berkenaan berkait dengan kenyataan beliau sebelum ini bahawa beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), namun bukan atas tiket PKR.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan selagi tidak menghantar surat keluar parti atau mengisytiharkan telah menyertai parti lain, beliau kekal sebagai anggota PKR dan Speaker Dewan Rakyat tidak boleh memecatnya daripada Parlimen.
“Itu (tanding PRU-16 bukan atas tiket PKR) perancangan apabila Dewan Rakyat dibubarkan dan saya tidak lagi terikat dengan Akta Anti-Lompat Parti.
“Setelah saya tidak lagi menjadi Ahli Parlimen, memang terpulang kepada saya nak buat apa,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi menyifatkan surat tunjuk sebab tersebut sebagai tidak ubah seperti ‘konar-konar baring’ yang ditunjukkan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh ketika pemilihan PKR sebelum ini.
‘Ingat PKR dah berani pecat saya…’
Dakwanya, ia melibatkan pertukaran sistem mengundi kepada blok rantai (blockchain) serta keengganan membuka peti undi untuk diaudit.
Kini, ujarnya, ‘konar baring’ itu mahu digunakan untuk menggugurkannya dari Parlimen walaupun beliau tidak pernah mengisytiharkan keluar parti.
“Saya akan balas dan jelaskan seperti ini kepada Fuziah Salleh dan PKR. Lepas itu, kamu nak buat apa pun buatlah.
“Sebab saya yakin Allah melihat semuanya,” katanya.

Artikel lain: Rafizi Ramli akan pertahan kerusi Pandan pada PRU16, tapi bukan bersama PKR
Dalam pada itu, Rafizi berpendapat beliau mungkin sudah lama dipecat sekiranya berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus membandingkan pendekatan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam membuat keputusan.

Dakwanya, Anwar seolah-olah merasakan ada hak supaya orang lain berkorban untuknya kerana beliau merupakan pemimpin besar.
“Bila sampai kepada kes saya, bila saya kritik dia, orang ingat dia akan tunjuk keberanian dengan memecat saya. Mana-mana pemimpin lain, dah lama akan pecat.
“Tapi Dato’ Seri Anwar dan PKR, dia nak suruh saya tolong selesaikan masalah itu bagi pihak dia.
“Sebab kalau dia pecat, maka saya akan kekal sebagai Ahli Parlimen.
“Dia nak saya isytihar keluar, kemudian Speaker dari PKR isytihar saya bukan lagi Ahli Parlimen. Puas hati mereka, padan muka kau,” katanya lagi.




