am@hmetro.com.my
Alor Setar: “Sejak dua tiga hari ini saya rasa tak seronok sebab hanya fikirkan mati.
“Saya ingat, saya yang meninggal dulu tetapi tak sangka pula anak sulung yang satu-satunya lelaki dalam keluarga yang pergi dulu,” kata Hashim Ismail, 70.
Hashim adalah bapa kepada Mohd Hazri Hashim, 43, yang maut apabila motosikal ditunggang dipercayai terbabas selepas kabel telekomunikasi yang melintang di tengah jalan terkena lehernya.
“Kali terakhir saya bertemu arwah ketika dia bersama isteri dan empat anak ke Kampung Besar, Mukim Padang Hang, di sini, sebelum Krismas lalu.
“Arwah tiada langsung perubahan dan dia kelihatan seperti biasa saja,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Katanya, Allahyarham yang bekerja sebagai kontraktor di Pulau Pinang berulang alik setiap hari dari rumahnya di Taman Angsana, Kulim.
Difahamkan, mangsa yang ketika itu menunggang motosikal ketika pulang kerja dikatakan tidak sempat mengelak apabila palang kren di belakang sebuah lori dikatakan tersangkut pada kabel telekomunikasi yang melintang dan mengakibatkan kabel berkenaan jatuh di atas jalan raya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris dalam kenyataan berkata, kabel telekomunikasi yang melintang di tengah jalan itu kemudiannya terkena pada leher Mohd Azri yang kebetulan melalui jalan itu, menyebabkan motosikal ditunggang terbabas dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara, anak sulung arwah, Fatin Batrisya Mohd Hazri, 18, berkata, arwah bapanya sempat menghantar dua daripada tiga adiknya ke sekolah sebelum ke tempat kerja semalam.
“Mulanya saya dapat maklumat kata abah kemalangan tapi tak tahu dia sudah tiada.
“Bila ibu saudara beritahu abah sudah tiada, lidah saya kelu kerana sedih.
“Malam sebelum kejadian arwah senyum saja,” katanya yang mengakui sangat terasa kehilangan arwah memandangkan adik-adik masih kecil manakala ibu mereka, Zamzarina Atan, 44, tidak bekerja.
Sementara itu, adik iparnya, Fazleen Akmar Ramli, 33, berkata, dia tidak menyangka kejadian itu menimpa abang iparnya malah terkejut apabila melihat video kejadian yang ditular di media sosial.
Katanya, pihaknya menyerahkan kepada polis sepenuhnya untuk menjalankan siasatan lanjut dan sekiranya terdapat unsur kecuaian, mereka sekeluarga akan berbincang untuk mengambil tindakan lanjut.
“Buat sementara waktu ini, biarlah selesai semuanya dulu kerana keluarga masih bersedih dan lepas ini kami akan fikirkan apa yang akan dibuat,” katanya.
Jenazah Allahyarham Mohd Hazri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Maarif Kampung Huma, Mukim Padang Hang, di sini jam 12 tengah malam tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




