Ingatkan bayi rupanya dah berusia 25 tahun

Ingatkan bayi rupanya dah berusia 25 tahun

Changsha, China: Wang Junming dari wilayah Hunan di tengah China mungkin sudah berusia 25 tahun, namun saiz fizikalnya masih seperti seorang bayi, lapor South China Morning Post.

Dengan ketinggian hanya 66 sentimeter (cm), Wang juga mempunyai tahap kecerdasan (IQ) seperti kanak-kanak selain dimanjakan oleh keluarganya yang memanggilnya dengan gelaran ‘bayi’.

Bagaimanapun, kedutan serta lingkaran bawah mata pada wajahnya serta suara yang keluar daripada mulutnya membuatkan orang ramai sukar mempercayai Wang adalah seorang bayi.

Kisah hidupnya mula tular selepas adiknya, Xiaoling, 21, berkongsi kehidupan seharian mereka menjaga Wang di media sosial sehingga berjaya meraih 163,000 pengikut setakat ini.

Hasil keprihatinan orang ramai yang menghubungi pihak hospital, Wang akhirnya didiagnosis menghidap kekurangan hormon pituitari, pada Februari lalu.

Ia adalah gangguan yang menyebabkan kelenjar pituitari tidak menghasilkan hormon yang mencukupi untuk mengawal metabolisme dan pertumbuhan.

Menurut laporan, kebanyakan pesakit yang mengalami masalah kesihatan ini biasanya didiagnosis antara usia enam bulan hingga tiga tahun, sekali gus membolehkan mereka menerima rawatan yang sesuai untuk membesar sebagai orang dewasa.

Ibu bapa Wang pernah membawanya ke hospital di ibu kota wilayah, Changsha, dan diberikan ubat-ubatan.

Namun, rawatan itu terpaksa dihentikan akibat kemiskinan keluarga yang hanya bergantung kepada pendapatan bulanan bapa sebanyak 3,000 yuan (RM1,900) hasil bekerja sebagai tukang ikat bata.

Pakar endokrinologi di Hospital Kedua Xiangya, Universiti Central South di Changsha, Deng Chao yang merawat Wang memaklumkan gen POU1F1 pesakit yang berfungsi mengawal perkembangan manusia didapati tidak normal.

Deng turut merujuk satu kajian pada 2021 yang menunjukkan hanya 114 pesakit seperti itu direkodkan di seluruh dunia.

Kebanyakan pesakit dilaporkan mampu membesar dengan ketinggian serta tahap IQ yang normal selepas menerima rawatan yang sewajarnya.

Sementara itu, Xiaoling rela memikul tanggungjawab menjaga abangnya walaupun ibu bapa mereka mahu gadis itu menjalani kehidupannya sendiri.

Dia sanggup bekerja di sebuah klinik kecantikan di Changsha selepas menamatkan pengajian dari sekolah kejururawatan demi menemani abangnya menjalani terapi hormon secara berkala.

Doktor memaklumkan pesakit mungkin mampu berjalan sendiri dan mencapai tahap IQ yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Mereka mengesahkan keadaan itu tidak menjejaskan jangka hayat, namun masih belum pasti sama ada struktur tulang pesakit mampu menampung berat badan yang semakin membesar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top