am@hmetro.com.my
Kulai: Seorang jurutera kerugian RM102,408 selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan dibuat lelaki berusia 25 tahun itu, kelmarin selepas mendakwa tidak menerima pulangan keuntungan hasil pelaburan dibuat.
Beliau berkata, mangsa berminat membuat pelaburan yang menjamin keuntungan sebanyak 10 peratus dalam tempoh yang terdekat.
“Suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi L-Trader milik mangsa.
“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan membuat 17 kali transaksi pembayaran berjumlah RM102,408 ke dalam enam akaun bank tempatan bermula 31 Julai lalu hingga 28 September lalu.
“Mangsa membuat semakan dalam akaun L-Trader miliknya dan mendapati keuntungan yang diperoleh adalah sebanyak RM1,620,374,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun, apabila mangsa mahu membuat pengeluaran dalam akaun L-Trader miliknya didapati akaun itu sudah disekat, sebelum dia syak ditipu dan membuat laporan polis.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pelaburan tidak wujud.
© New Straits Times Press (M) Bhd

