'Ini anak saya, bukan pengganti isteri' – Abang Johari

'Ini anak saya, bukan pengganti isteri' – Abang Johari

mdroji@bh.com.my

Kuching: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, segera menepis tanggapan seorang segelintir masyarakat yang melihatnya selalu membawa seorang wanita pada beberapa majlis rasmi selepas isterinya meninggal dunia, 44 hari lalu.

Abang Johari berkata, wanita yang menemaninya ke majlis rasmi itu ialah anak perempuannya, Dayang Norjihan.

Menurutnya, berikutan Dayang Norjihan sering menemaninya, ada yang menganggap beliau sudah mempunyai isteri baharu.

“Ke mana sahaja pergi ke majlis rasmi, saya meminta anak perempuan membantu dan menemani saya.

“Ada juga saya terdengar orang kata, cepat betul ada pengganti,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian jambatan Datuk Amar Juma’ani di Kampung Bintangor, di sini, malam ini.

Beliau berkata kehadiran anak perempuannya di sisinya pada majlis rasmi menyebabkan orang ramai menimbulkan spekulasi.

Dayang Norjihan, 43, adalah anak kedua Abang Johari bersama isteri, Allahyarhamah Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang dan seorang lagi anak mereka, Abang Abdillah Izzarim, 45.

Abang Johari berkata, beliau mula membawa anak perempuannya menemaninya pada satu majlis di Miri beberapa minggu lalu, selepas pemergian isterinya.

Allahyarham Juma’ani meninggal dunia pada jam 3.34 pagi, 23 Jun lalu di Pusat Perubatan Normah, Kuching, pada usia 76 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top