Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim meluahkan rasa berang terhadap tindakan kejam seorang lelaki yang didakwa memukul isterinya yang sedang hamil anak kembar.
Menerusi hantaran di Threads, Sarimah dengan tegas mengkritik perbuatan tersebut yang disifatkannya sebagai langsung tidak berperikemanusiaan.
“Ini bukan lelaki. Ini binatang. Eh maaf, binatang pun tak macam ini,” katanya di satu perkongsian tular yang mendakwa seorang wanita hamil menjadi mangsa pukul sebelum suspek melarikan diri dipercayai bersama isterinya.

Berdasarkan perkongsian berkenaan, lelaki terbabit dipercayai pernah berada di sekitar Bukit Larang, Telok Mas, Melaka, namun lokasi terkini tidak dapat dipastikan.

Kes itu turut mencetuskan kemarahan ramai apabila rata-rata netizen menggesa agar pelaku segera ditahan dan diambil tindakan sewajarnya.
Dalam perkembangan lain, Sarimah kini membintangi sebuah drama Bila Cinta Menjadi Dosa yang sudah mula ditayangkan sejak 27 Februari lalu pada setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di slot Lestary TV3.
Selain Sarimah, drama yang memaparkan kisah keluarga mula goyah apabila masa silam kembali menuntut penjelasan itu turut dilakonkan oleh Zamarul Hisham, Zairi Aziz, Alya Iman, Nelissa Nizam, Elizad Sharifuddin dan Maria Farida.




