mohamadridzuan@hmetro.com.my
Tidak keterlaluan dikatakan nama Jazmy Juma, 27, sebagai hero pelapis masa akan datang dan mempunyai potensi cerah dalam industri lakonan tanah air.
Gandingannya dengan Scha Elinnea menerusi drama Nuh dan Nayla yang ditayangkan menerusi TV3 berjaya menonjolkan namanya di mata peminat.
Terbaru, namanya sekali lagi menjadi sebutan apabila bergandingan pula dengan Tracie Sinidol menerusi drama Hilang Dalam Rindu disiarkan menerusi slot Samarinda TV3.
Namun finalis Hero Remaja 2020 ini tidak terlepas dikaitkan mempunyai hubungan intim dengan pasangan lakonnya.
“Saya dah jelaskan hubungan kami hanya sekadar untuk drama. Tak tahulah, itu mungkin pandangan netizen saja. Macam sekarang dengan Tracie pun sama juga.
“Ada yang cakap kami serasi dan bercinta. Saya dulu kalau tengok pelakon-pelakon berlakon, saya pun rasa pelakon itu bercinta sesama mereka.
“Sebab dekat dalam cerita itu nampak macam betul-betul. Jadi, saya tak salahkan apa yang orang nak cakap. Memang tiada apa-apa,” katanya.
Pelakon bernama sebenar Jazmy Khan Juma Khan ini berkata, sekiranya peminat suka keserasian mereka untuk dia, dia okey dan tidak kisah.
“Kalau mereka nak tengok kami bersatu (bercinta), jangan. Itu macam paksa. Tak boleh nak paksa. Kalau mereka doakan itu, doa-doa sahaja.
“Untuk berlakon watak mesra pula, itu bergantung kepada pengarah dan pasangan lakon saya. Kalau pasangan saya itu dah kahwin, saya akan tanya macam mana nak buat.
“Saya akan berbincang dengan dia. Kalau dia cakap macam ini, saya akan rujuk pengarah pula dan bagi cadangan tukar mana yang sesuai,” katanya.
Menurutnya, sepanjang berlakon, setakat ini dia sentiasa diganding dengan pasangan baik-baik bermula daripada awal penggambaran sehinggalah habis.
Populariti drama Hilang Dalam Rindu juga merentasi sempadan sehingga ke Indonesia dan jika ada tawaran berlakon di sana, dia akan mempertimbangkannya.
Selepas Hilang Dalam Rindu, Jazmy akan tampil dengan drama 28 episod untuk slot Akasia berjudul Takdir Cinta Terlarang yang akan bermula pada 23 September nanti.
Jazmy akan bergandingan dengan Syaza Bae, Tony Eusoff, Norish Karman, Julia Marin dan ramai lagi.
“Ia cerita yang ditakuti saya kerana jalan ceritanya yang sangat berbeza. Penonton kena tengok sendiri cerita menarik ini apabila ditayangkan nanti,” katanya.
Jazmy juga akan tampil dengan drama Namamu Cinta menerusi Tonton Original Series pada 12 Februari tahun depan. Drama ini turut menampilkan Zara Zya, Shahz Jaszle dan Syad Mutalib.
© New Straits Times Press (M) Bhd