zatuliffah@hmetro.com.my
Dungun: Bagaikan tsunami kecil. Itu gambaran diberikan salah seorang penduduk di Kampung Shukor, Hulu Dungun di sini berhubung kejadian kepala air yang berlaku akibat hujan lebat semalam.
Kejadian yang berlaku semalam itu menyebabkan tiga buah rumah hanyut dan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang rumah.
Tg Mohd Zulkurnain Tengku Man, 58, yang juga anggota Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) antara penduduk yang kediamannya terjejas selepas bahagian anjung rumahnya dihanyutkan air.
Menurut Tg Mohd Zulkurnain, dia bersama keluarganya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Ramai Kampung Shukor kelmarin akibat hujan pada hari sama.
Katanya, dia sedang bertugas di PPS dimaklumkan jirannya bahagian anjung rumahnya runtuh akibat banjir kira-kira jam 4.30 petang semalam.
“Saya segera bergegas ke rumah dan memang terkejut melihat keadaan anjung rumah yang rosak.
“Memang biasa rumah dinaiki banjir tetapi ini kejadian terburuk dialami saya sepanjang 58 tahun tinggal di sini,” katanya.
Tg Mohd Zulkurnain berkata, banjir yang berlaku kali ini memang di luar jangkaan dan boleh diibaratkan sebagai tsunami kecil.
“Sedih pun kita nak buat macam mana, kita hanya reda dengan pemberian Allah, tabahkan hati dan kuatkan iman.
“Kita tak boleh nak buat apa-apa, kalau orang buat lain cerita tetapi ini semua yang Allah, jadi kena reda dan ada hikmah di sebalik kejadian ini,” katanya.
Kejadian sama turut menyebabkan rumah anaknya yang sedang dalam pembinaan serta rumah sepupunya turut rosak.
Menurut Tg Mohd Zulkurnain, dia berharap kerajaan negeri dapat membantunya serta penduduk lain yang terjejas akibat bencana kali ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
