Ini kejuaraan paling sukar – Guardiola

Ini kejuaraan paling sukar – Guardiola

LONDON: Pengendali Manchester City Pep Guardiola berkata kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini adalah yang paling sukar pernah diharunginya.

City dinobatkan juara Liga Perdana Inggeris buat kali ketiga dalam empat musim selepas pesaing terdekat Manchester United tewas 2-1 kepada Leicester.

Skuad kendalian Guardiola mendahului 10 mata di depan United dengan saingan musim ini hanya berbaki tiga perlawanan.

Hasrat City untuk mengesahkan kejuaraan Ahad lalu berkecai apabila tewas kepada Chelsea 2-1 di Etihad, manakala United membuatkan mereka terus menanti apabila menang di Aston Villa.

“Musim ini amat sukar dan kejuaraan Liga Perdana ini tidak seperti kejuaraan lain. Ini adalah yang paling sukar.

“Kami akan sentiasa mengingati musim ini berkenaan cara kami memenanginya. Saya amat bangga menjadi pengendali di sini dan kepada kumpulan pemain ini.

“Mereka amat istimewa. Berjaya mengharungi musim ini, dengan semua halangan dan kesukaran yang dihadapi, serta menunjukkan aksi konsisten adalah amat menakjubkan,” kata Guardiola.

City berpeluang melengkapkan treble musim ini apabila bertemu Chelsea di final Liga Juara-Juara pada 29 Mei ini. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top