mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kemunculan semula kartunis Boy PJ atau Noor Azman Samsuddin, 57, menyanyikan lagu Jom Balik dan Jom Balik Raya Wehhhh… dalam loghat Perak pada 2019 disambut baik peminat terutama dari negeri terbabit.
Boy PJ yang pernah mencipta nama di majalah humor popular, Gila-Gila menerusi karya Malaysia Meriah dan Pulau Juor And The Gang terus aktif menghasilkan lagu dan kini tampil dengan single terbaru berjudul Keme Budak Pulau Juor.
Boy PJ berkata, single ketiga ini hasil ciptaannya manakala susunan muzik dibuat oleh Cikgu Shaimie.
“Lagu ini dihasilkan dalam rentak pop etnik samba nusantara dan liriknya dalam loghat Perak Tengah. Ia membawa mesej mengenai pengalaman hidup saya di masa kecil.
“Sebelum ini saya selalu tonjolkan pengalaman menarik dan berharga ketika bekerja dengan majalah Gila-Gila. Tapi untuk single ini, saya ubah pendekatan agar lebih mendapat perhatian.
“Saya bersyukur lagu ini sudah diluluskan Unit Rakam Khanah RTM dan sering dimainkan di stesen radio Perak FM terutama oleh penyampai seperti Ely Fazilah Hanafi, Maslita MD Lod, Nasreeq dan DJ Fitri Azman menerusi segmen seleksi pendengar,” katanya.
Menurutnya, dia juga merancang menghasilkan muzik video Keme Budak Pulau Juor nanti.
“Saya bercadang mengambil lokasi sekitar kampung, sungai dan rumah kampung sebagai latar belakang muzik video agar menarik untuk ditonton nanti.
“Lagu ini turut disulami dialog orang Perak seperti mempromosikan lokasi menarik Teluk Intan antaranya Menara Condong dan Kedai Roti Canai Pak Andak yang dikenali ramai,” katanya.
Selain menyanyi, Boy PJ yang sudah lama memilih menetap di kampung halamannya di Teluk Intan, masih aktif melukis karikatur dan mural di pelbagai lokasi sekitar Perak.
Bakat istimewa yang ada pada dirinya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencari rezeki buat keluarga.
“Saya bersyukur masih diberikan rezeki dalam bidang yang diminati. Ini bakat yang saya ada dan syukur boleh dijadikan sebagai sumber rezeki untuk pendapatan keluarga.
“Saya bersedia menerima undangan untuk melukis karikatur di mana-mana saja lokasi seperti di sekolah dan pusat beli-belah.
“Mereka yang ingin melihat wajah mereka diabadikan dalam bentuk karikatur bolehlah berbuat demikian nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



