Kalau sebelum ini nama Melinda Dadew mungkin masih belum begitu meniti di bibir ramai peminat seni, nampaknya sekarang keadaan sudah mula berubah.
Lebih-lebih lagi selepas kemunculannya menerusi watak Liu dalam pementasan teater muzikal Mansur & Liu baru-baru ini.
Bukan sedikit yang mula memuji persembahan Melinda. Ada yang terkejut dengan keupayaannya membawa watak berkenaan, malah ramai juga yang baru sedar bahawa penyanyi ini bukan sekadar ada rupa dan penampilan, tetapi mempunyai bakat vokal yang cukup besar.
Memuatkan artikel berkaitan…
Watak Liu nampaknya menjadi satu ruang buat Melinda memperlihatkan sisi dirinya yang mungkin selama ini belum begitu terserlah di mata umum.
Dan apabila dia mula menyanyi serta menghayati watak di atas pentas, barulah ramai yang berkata: “Eh, Melinda ni memang boleh menyanyi!” Malah, boleh dikatakan pengalaman dalam Mansur & Liu itu seperti membuka satu lagi pintu untuk orang ramai mengenali kemampuan sebenar Melinda.
Apa yang menarik, Cik Bunga tengok, perjalanan Melinda dalam industri bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata. Dia juga sudah lama berusaha untuk mencipta nama dan mencari tempat dalam dunia seni.
Cuma kadang-kadang begitulah perjalanan seorang anak seni. Bakat mungkin sudah ada sejak awal, usaha pula tidak pernah putus, tetapi masa yang menentukan bila orang ramai benar-benar akan nampak dan menghargainya. Dan nampaknya waktu Melinda sudah tiba.
Pujian yang diterima menerusi watak Liu membuktikan bahawa kerja keras itu akhirnya mula mendapat perhatian. Lebih manis, perhatian tersebut datang bukan semata-mata kerana namanya, tetapi kerana kemampuan dan persembahan yang diberikan.
Cik Bunga suka melihat perkembangan sebegini.
Sebab dalam industri seni, bukan semua orang terus mendapat peluang untuk menunjukkan apa yang mereka ada. Ada yang bertahun-tahun berusaha, mencuba pelbagai ruang, belajar daripada pengalaman dan menunggu satu kesempatan untuk membuktikan kemampuan.
Melinda nampaknya sudah menemui ruang itu menerusi Mansur & Liu. Dan selepas ini, jangan terkejut kalau semakin ramai mula membuka mata terhadap bakat penyanyi yang seorang ini. Syabas Melinda!




