Ini pendapat orang ramai!

Ini pendapat orang ramai!

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan anggota polis memeriksa telefon bimbit orang awam yang disyaki terbabit melanggar undang-undang dianggap perlu.

Namun, ada juga yang berpendapat, ia melanggar hak privasi individu.

Ejen hartanah, Syafiq Syamroz, 31, berkata, tindakan memeriksa telefon bimbit orang awam tanpa prosedur yang jelas tidak wajar.

“Saya berpendapat, anggota polis tidak wajar melakukannya kerana ia melanggar privasi individu. Jika mahu melakukannya, perlu ada waran atau sebab yang sah.

“Jika tiada kaitan dengan kita, mengapa telefon bimbit kita perlu diperiksa?,” katanya.

Pemandu teksi, Mohamad Noor Ejok, 63, pula berkata, dia bimbang risiko kebocoran maklumat peribadi melalui teknologi yang semakin canggih.

“Kita dengar pelbagai isu. Ada teknologi yang boleh sambungkan telefon dengan peranti lain tanpa kita sedar. Kalau data kita jatuh ke tangan orang yang salah, siapa yang akan bertanggungjawab?

“Kita sendiri pun ada kalanya tidak pasti, dia (anggota penguat kuasa) yang datang dan mahu memeriksa telefon bimbit itu betul atau menyamar,” katanya.

Selain itu, penuntut, Rozilt Hearlisa Mat Zin, 23, berkata, dia tidak akan menyerahkan telefon bimbitnya untuk diperiksa melainkan ada kes tertentu berkait dengan dirinya.

“Saya rasa tindakan terbabit melanggar hak asasi kita. Dalam telefon bimbit, semua hal peribadi ada. Ia tak boleh diakses ‘orang luar’ sesuka hati.

“Jika ada bukti jelas yang mengaitkan individu itu dengan kes tertentu, barulah saya rasa wajar. Tetapi, jika sekadar meminta begitu saja tanpa sebab, saya tidak akan serah,” katanya.

Bagi pekerja dalam industri makanan dan minuman (F&B), Nurul Alya Mazlan, 21, isu itu adalah soal keseimbangan antara keselamatan awam dan hak individu.

“Jika jenayah itu membabitkan kita, tidak ada masalah untuk memeriksa telefon bimbit. Tetapi jika tiada kaitan, penguat kuasa perlu ikut prosedur yang betul,” katanya.

Sementara itu, pekerja bebas, Sabrina Alya Sabri, 26, berkata, tindakan memeriksa telefon bimbit orang awam adalah perkara yang melanggar hak individu terutamanya apabila ia dilakukan tanpa justifikasi kukuh.

“Perkara seperti ini adalah soal hak peribadi. Tak boleh sewenang-wenangnya periksa telefon bimbit seseorang,” katanya.

Pada 13 Januari lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dipetik berkata, polis berhak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau mendapat maklumat seseorang dipercayai melakukan kesalahan.

Kata Razarudin lagi, ia termaktub mengikut Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah iaitu bagi maksud memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam seseorang.

“Perkara itu dibenarkan berdasarkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Dalam akta ini, Seksyen 249 AKM memberi kuasa untuk mendapatkan akses kepada data berkomputer termasuklah telefon bimbit,” katanya.

Pada masa sama, satu perjumpaan dilaporkan akan diadakan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi membincangkan isu pemeriksaan telefon bimbit orang awam oleh polis dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dipetik berkata, Razarudin sudah diminta untuk memberi penerangan yang jelas daripada sudut penguatkuasaan undang-undang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top