redzuan.muharam@hmetro.com.my
Baling: “Saya reda kerana siapa saya nak melawan takdir jadi kena hadapi juga ujian ini.
“Allah SWT saja yang tahu bagaimana beratnya tanggungjawab saya kerana sekarang saya ibu dan juga ayah kepada anak.”
Itu kata Mohd Shukur Mat Zain, 40, yang sebelum ini diuji apabila perlu membesarkan dua anak syurga, Muhammad Aidan, 6, atau nama manjanya Aidan dan Muhammad Aryan, 3, atau Aryan.
Tahun lalu, Mohd Shukur dari Kampung Gabus Mukim Pulai, di sini, berdepan lagi ujian apabila isteri tercinta, Siti Nur Amieliza Khuzaipah, 35, disahkan menghidap penyakit autoimun Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau lebih dikenali sebagai Lupus yang belum ada penawarnya.
Berikutan itu, Mohd Shukur tiada pilihan melainkan berhenti kerja sebagai operator pengeluaran di sebuah syarikat pemasangan kenderaan kira-kira empat bulan lalu dan mengambil upah melakukan kerja kampung demi kelangsungan hidup.
Menurut Mohd Shukur, isteri menjadi tulang belakangnya sebelum ini namun kini segalanya berubah dan dia perlu memahami keadaan pasangannya itu yang sudah tidak seperti dulu akibat penyakit dihidapi.
“Memang berat tanggungan saya bila sudah tiada kerja tetap tapi terpaksa berhenti kerja kerana temujanji banyak, kebiasaannya lebih lapan kali dalam sebulan.
“Ia kerana Aidan mengalami gangguan hiperaktif defisit tumpuan atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan gangguan spektrum autisme (ASD) tahap ringan manakala Aryan menghidap sindrom Costello iaitu penyakit jarang jumpa jadi perlu kerap dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
“Majikan okay dan faham tapi saya terpaksa ambil cuti banyak hingga gaji tinggal sedikit jadi mengenangkan anak dengan isteri, saya terpaksa berhenti kerana lebih utamakan kesihatan mereka.
“Cuma dulu anak saja tapi sekarang tiga serentak termasuk isteri jadi berat untuk saya tempuh,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, Mohd Shukur berkata, isterinya boleh berjalan tapi tidak sekuat dulu dan ada waktunya sangat lesu malah badan juga semakin lemah.
Katanya, isterinya ada bergantung dengan ubat namun ia tidak boleh menyembuhkan sebaliknya melambatkan kesan SLE yang menyerang kulit selain menyebabkan buah pinggang dan hati membengkak
“Anak bongsu saya, Aryan pula masih ada rawatan cuma sekadar mampu bertahan dan tak dapat buat pembedahan pada jantung kerana penyakitnya jarang jumpa malah turut berkait dengan mulut, kaki, tangan juga buah pinggang.
“Jangka hayatnya tidak pasti malah doktor pun tak bagi jawapan sampai bila dia kena makan ubat, sama juga dengan abangnya, Aidan cuma Aidan sekarang sudah dimasukkan ke pra Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
“Kebanyakan masa saya di rumah dan jika keluar pun, hantar dan ambil Aidan pulang dari sekolah atau buat kerja kalau kawan panggil. Selebihnya doa dan berserah kepada Allah SWT,” katanya yang turut menerima bantuan pesakit terlantar sebanyak RM500 sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM400 daripada Lembaga Zakat Kedah buat anaknya, Aryan.
Mohd Shukur berkata, dia ada berkongsi video menceritakan kisahnya yang diuji dengan dua anak istimewa dan terbaru berkaitan keadaan isterinya.
“Ada ketikanya, saya buat siaran langsung kerana ada pengikut yang nak nak tahu keadaan anak.
“Bukan nak minta simpati atau minta sumbangan tapi biasalah, ada juga kurang senang dan kecam.
“Hakikatnya mereka tak tahu di dalam siaran langsung mungkin nampak saya tersenyum tapi ada waktunya saya menangis di belakang tabir cuma tak tunjuk,” katanya yang berharap diberi kekuatan menempuh ujian berkenaan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah ketabahan Mohd Shukur membesarkan dua anak istimewanya, Aidan dan Aryan yang memerlukan penjagaan rapi.
Berikutan ADHD dan ASD, Aidan menjadi hiperaktif, lambat bertutur dan hilang fokus serta disahkan layak menerima kad orang kurang upaya (OKU) dua tahun lalu.
Manakala, Aryan perlu bergantung dengan enam jenis ubat dengan tiga daripadanya untuk jantung dan perlu dimakan setiap hari bagi memperlahankan degupan yang mencecah 200 setiap minit.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 152116405489 atas nama Mohd Shukur Mat Zain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




