najiy.jefri@hmetro.com.my
Shah Alam: Anak lelaki kepada personaliti media sosial, pelakon dan penyanyi, Ryan Bakery iaitu Ryan Ezra menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di sini akibat jangkitan kuman dalam darah,.
Ryan atau nama sebenar, Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, berkata, anaknya sudah mengalami demam panas sejak Selasa lalu.
“Selasa lalu saya dah perasan dia kurang aktif kerana demam, batuk dan selsema. Jadi saya terus membawanya ke hospital.
“Namun doktor beritahu sekiranya demam masih tidak baik, anak saya perlu dibawa ke hospital semula untuk menerima rawatan lanjut.
“Mulanya demamnya sudah mula baik namun tiba-tiba makin teruk termasuk batuk dan kahak.
“Sebagai bapa sudah tentu saya risaukan keadaannya kerana ini kali pertama kami melihatnya dalam keadaan yang lemah. Saya dan isteri yang melihat pun turut mengalirkan air mata,” katanya.
Menurut Ryan, dia memohon orang ramai untuk mendoakan kesembuhan anak lelakinya itu.
“Doakan semoga anak saya diberi kesembuhan. Disebabkan darahnya dijangkiti kuman jadi doktor akan beri antibiotik.
“Apa yang berlaku ini akan membuatkan saya lebih berhati-hati, lebih-lebih lagi ketika orang luar mahu menciumnya. Tapi apapun saya anggap ini ujian untuk saya sekeluarga, benda nak berlaku,” katanya.
Terdahulu, Ryan mendirikan rumah tangga dengan Elyia Ibrahim pada 1 Oktober 2022 dan dikurniakan anak lelaki pada 30 Disember tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




