Inisiatif lahir generasi peka terhadap isu kelestarian alam sekitar

Inisiatif lahir generasi peka terhadap isu kelestarian alam sekitar

am@hmetro.com.my

Serdang: Lebih 150 peserta terdiri daripada pelajar dan staf Universiti Putra Malaysia (UPM) serta kakitangan Sumitomo Mitsui Banking Corporation (SMBC) menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Growing Trees, Building Futures’ anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) dengan kerjasama SMBC SCC Sdn Bhd, hari ini.

Program bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar serta memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan kewangan yang berkesan.

Dekan FBMK, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim berkata, kerjasama itu adalah usaha penting dalam melahirkan generasi muda yang peka terhadap isu kelestarian alam sekitar di samping membina kesedaran kewangan untuk masa depan.

“FBMK turut menyediakan ceramah khas berkaitan pengurusan kewangan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bertujuan membimbing pelajar dan staf mengenai asas pengurusan kewangan yang betul,” katanya semasa perasmian program.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Dr Ismi Arif Ismail berkata, program itu adalah sebahagian daripada komitmen UPM dalam mendukung Agenda Kelestarian Hijau serta program CSR yang memberikan impak positif kepada komuniti dan alam sekitar.

“Saya berharap dengan pelaksanaan program sebegini, UPM dapat melaksanakan pelbagai inisiatif yang mendukung kelestarian alam secara berterusan, di samping memberi tambah nilai kepada masyarakat melalui pendedahan mengenai pengurusan wang yang berkesan.

“Melalui ceramah yang akan disampaikan nanti juga pelajar akan didedahkan dengan panduan mengenai kaedah merancang perbelanjaan, kepentingan menabung dan cara mengurus hutang secara berhemah.

“Ia penting dalam memastikan mereka (pelajar dan staf) mampu membuat keputusan mengurus kewangan yang bijak, terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin kompleks masa kini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top