UMNO menegaskan parti itu tidak terkesan dengan pelbagai gelaran yang dilemparkan pihak tertentu ketika usaha sedang dilakukan untuk memperkukuhkan semula parti melalui Inisiatif Rumah Bangsa.
Inisiatif dibuat untuk pulihkan keharmonian
Memetik laporan daripada Berita Harian, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan menyatakan inisiatif itu bertujuan memulihkan keharmonian dalaman parti termasuk menarik semula pemimpin serta bekas ahli yang sebelum ini dipecat atau digantung keahlian.
Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi membina semula kekuatan parti selepas keputusan pilihan raya sebelum ini.
“UMNO kini dalam usaha membina kekuatan untuk bangkit semula bermula dari dalam, sekali gus menjadikan asas utama dalam menghadapi cabaran masa depan.
“Jika ada pihak yang melabelkan parti kita sebagai rumah hantu (Inisiatif Rumah Bangsa), itu terpulang kerana UMNO sekarang dalam keadaan harmoni hasil muhasabah diri.
“Kita sedar kita sudah dibuang pada pilihan raya terdahulu, tapi kita juga menyedari rakyat membuat begitu kerana ada sebab, seperti orang tua-tua kata, ‘sakit berpunca mati bersebab’.
“Satu daripada puncanya kerana pergeseran sesama sendiri selain perbalahan dalaman dan isu yang tidak dapat ditangani dengan baik,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Kepimpinan Jawatankuasa UMNO Bahagian Rembau, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang tidak bersedia menyertai gagasan Rumah Bangsa yang ditawarkan UMNO.
Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan menyifatkan gagasan yang diperkenalkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi itu sebagai struktur politik yang tidak selamat.

Bahasa digunakan Hadi tak sesuai
Mengulas perkara itu, Mohamad yang juga Menteri Luar berkata bahasa digunakan pemimpin berkenaan tidak sesuai terutama dalam bulan Ramadan.
“Beliau (Tan Sri Abdul Hadi Awang) sepatutnya menggunakan bahasa yang baik terutama dalam bulan Ramadan.
Saya tak mahu mengulas lebih lanjut kerana bagi saya terlampau banyak flip-flop yang beliau lakukan, bercakap yang bukan-bukan… buang masa saya untuk memberi komen,” katanya.

Artikel lain: Rumah Bangsa UMNO tak selamat, penuh hantu – Abdul Hadi
Dalam perkembangan lain, beliau berkata UMNO turut membuat persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri di Melaka tahun ini serta Johor pada tahun hadapan.




