Kota Bharu: Inisiatif SejaTi MADANI terus mencatatkan kejayaan memberangsangkan di Kelantan apabila sebanyak 1,135 permohonan geran diterima setakat semalam daripada komuniti di seluruh negeri.
Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 668 projek telah diluluskan dan sedang dilaksana sekali gus membuktikan kesungguhan rakyat untuk memperkasa ekonomi setempat melalui pelbagai projek komuniti.
Kenyataan itu memaklumkan sepanjang tahun 2024, sebanyak 1,065 permohonan telah diterima manakala 523 projek yang diluluskan berjaya dilaksanakan.
“Peningkatan jumlah permohonan pada tahun ini membuktikan tahap kesedaran dan keyakinan masyarakat terhadap potensi program SejaTi MADANI dalam menyokong pembangunan ekonomi komuniti.
“Lima sektor utama menjadi tumpuan permohonan geran iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti, serta aktiviti hijau dan kitar semula,” menurut kenyataan itu.
Menurut ICU JPM, sektor pertanian dan makanan merekodkan jumlah permohonan tertinggi sekali gus mencerminkan kecenderungan komuniti untuk menjadikan bidang itu sebagai sumber pendapatan yang stabil dan berterusan.
ICU JPM turut memaklumkan daerah Tumpat, Kubang Kerian, Bachok dan Pasir Puteh mencatatkan jumlah permohonan tertinggi, menunjukkan minat serta penglibatan aktif komuniti dalam merebut peluang yang disediakan oleh inisiatif itu.
Kenyataan itu menyebut Program SejaTi MADANI memberi kuasa kepada komuniti akar umbi untuk merancang dan melaksanakan projek yang bersesuaian dengan keperluan mereka melalui sokongan geran hingga RM100,000.
“Antara projek yang telah menunjukkan pencapaian memberangsangkan ialah penternakan lebah kelulut oleh Pertubuhan Komuniti Tasek Berangan di Pasir Mas yang menghasilkan madu kelulut berkualiti tinggi untuk pasaran tempatan dan berpotensi dikembangkan sebagai produk agropelancongan,” katanya.
Selain itu, projek penanaman jagung dan sayuran di Kampung Paloh, Tanah Merah serta tembikai tanpa biji di Kampung Air Tawar, Semerak, Pasir Puteh turut mencatat kejayaan.
Menurut ICU JPM, pelaksanaan program itu dijangka terus menjadi platform penting dalam memperkasa ekonomi rakyat Kelantan secara berterusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd