Serdang: Bagi menghargai warisan budaya serumpun, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Fakultas Pascasarjana, Universitas Indraprasta PGRI (UNINDRA) mengadakan Program Komuniti Jejak Warisan di SMP Darul Arqom, Jakarta pada 2 Mei lalu.
Menerusi program bertemakan ‘Memelihara Kesusasteraan dan Budaya Serumpun antara Malaysia dan Indonesia’ anjuran Jabatan Bahasa Melayu itu, pelajar didedahkan dengan warisan serumpun antara kedua negara.
Program turut memberi tumpuan kepada pendekatan kreatif dalam mengekalkan nilai sastera tempatan melalui pemahaman bersama mengenai warisan kesusasteraan dan bahasa yang menjadi teras identiti kedua-dua negara.
Pengarah Program Komuniti Jejak Warisan, Prof Madya Datin Dr Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi berkata, program sebegini sangat penting dalam membina jati diri pelajar serantau dan menjadi jambatan budaya antara dua negara serumpun yang berkongsi sejarah dan warisan bahasa.
Sementara itu, pengarah bersama program, Dr Rozita Che Rodi berkata, keterujaan jelas terpancar di wajah peserta program.
“Saya berharap hubungan akademik ini dapat diperluas melalui projek bersama, penerbitan karya serumpun, dan program pertukaran pelajar pada masa depan.
“Kerjasama strategik antara UPM dan UNINDRA ini diharapkan terus menjadi platform dinamik dalam usaha memelihara dan menghidupkan semula warisan kesusasteraan Melayu dan Indonesia, selaras dengan aspirasi pendidikan serantau,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




