Inkues: Ketua Warden tak pernah terima aduan buli terhadap Zara Qairina

Inkues: Ketua Warden tak pernah terima aduan buli terhadap Zara Qairina

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Ketua Warden, Azhari Abd Sagap berulang kali menyebut, tidak pernah, ketika ditanya sama ada pernah menerima aduan buli membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir daripada sesiapa sebelum ini.

Menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah ketika prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina di Mahkamah Koroner hari ini, Azhari berkata, beliau juga tidak pernah menerima aduan daripada ibu bapa arwah.

Beliau juga menjawab, tidak pernah, ketika ditanya sama ada pernah menerima aduan mengenai arwah Zara dibuli oleh empat tertuduh remaja diwakili Abdul Fikry bersama rakan guamannya yang dinamakan B, C, D dan E.

Azhari juga menjelaskan bahawa tahap disiplin pelajar di sekolahnya terkawal dan tidak berlaku masalah disiplin, manakala kebanyakan aduan hanya membabitkan kerosakan peralatan asrama seperti lampu dan kipas, selain lambat turun solat Subuh atau ke sekolah.

Abdul Fikry: Sepanjang menjadi Ketua Warden dari Februari 2025 ada dimaklumkan berkenaan Zara dibuli?
Azhari: Tidak pernah.
Abdul Fikry: Adakah kamu pernah terima aduan Zara berkenaan dia dibuli oleh B, C, D, E?
Azhari: Tidak pernah.
Abdul Fikry: Adakah kamu pernah terima aduan ibu bapa Zara bahawa Zara ada dibuli atau dipukul?
Azhari: Tidak pernah ada aduan daripada ibu bapa Zara dan Zara sendiri.

Sementara itu, Azhari juga menjawab, tiada, apabila ditanya sama ada beliau ada dimaklumkan oleh mana-mana pelajar di lokasi kejadian mengenai buli oleh pelajar B, C, D dan E.

Jawapan yang sama diberikan terhadap soalan sama ada pelajar ada memaklumkan kepada beliau mengenai Zara dipukul di kepala di lokasi kejadian dan selepas kejadian pada 16 Julai lalu.

Abdul Fikry: Sewaktu bersama pelajar di tempat kejadian, adakah mana-mana mereka maklumkan mengenai buli oleh pelajar B, C, D, E?
Azhari: Tiada.
Abdul Fikry: Adakah mana-mana daripada mereka memaklumkan bahawa Zara telah dipukul di kepala?
Azhari: Tiada.
Abdul Fikry: Selepas kejadian menimpa Zara pada 16 Julai, adakah mana-mana pelajar tampil mengadu bahawa kononnya Zara dibuli senior?
Azhari: Tiada.
Abdul Fikry: Adakah mana-mana pelajar tampil buat aduan bahawa Zara ditolak atau dibuang dari tingkat tiga?
Azhari: Tiada.
Abdul Fikry: Adakah mana-mana pelajar tampil buat aduan bahawa Zara dibunuh Senior?
Azhari: Tiada.

Beliau juga mengakui tiada perkara berkaitan buli diceritakan ibu arwah Zara Qairina ketika berjumpa dengannya di hospital, namun pernah melihat posting ibunya di TikTok mengenai perkara itu, namun tidak pasti sama ada ia berunsur buli atau tidak.

“Iya, tiada cerita buli, kami dapat tahupun selepas kami nampak ‘posting’ ibunya di TikTok. Itupun tidak tahu bulikah apa,” katanya.

Terdahulu, Azhari menyifatkan tuduhan yang tular di media sosial kononnya kamera litar tertutup (CCTV) di asrama sekolah dipotong bagi melindungi pembuli sebagai fitnah dan tidak betul.

Beliau menjelaskan memang tiada CCTV dipasang di asrama dan menjelaskan bukan bidang kuasanya ketika ditanya kenapa peralatan itu tiada dipasang.

“Fitnah, itu semua tidak betul, memang tiada CCTV di asrama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top