am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kesan darah dipercayai terdapat pada helaian kertas mengandungi tulisan Zara Qairina Mahathir selepas bahan kes itu dipaparkan pada sesi prosiding hari ketiga di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.
Perkara itu dibangkitkan pihak berkepentingan, Datuk Ram Singh, dalam sesi soal jawab dengan saksi kedua inkues, Pemeriksa Dokumen di Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Petaling Jaya, Nurul Atiqah Mohd Noh, 44.
Ram: Bila anda melihat terdapat kesan darah, adakah anda bercadang untuk menghantarnya ke Jabatan Kimia untuk dianalisis?
Nurul Atiqah: Dokumen ‘Y8’ memang dihantar ke DNA forensik terlebih dahulu, kemudian dihantar kepada saya.
Ram: Jika anda lihat salinan asal pada helaian ‘Y9’, adakah anda perasan terdapat kesan darah?
Nurul Atiqah: Tidak jelas.
Ram: Ada kesan darah?
Nurul Atiqah: Saya tidak pasti.
Bagaimanapun, keterangan saksi hanya tertumpu kepada pengecaman tulisan Zara Qairina, bukan kepada kesan darah yang terdapat pada helaian kertas berkenaan.
Ketika ditanya mengenai kesan darah itu, Nurul Atiqah menjelaskan beliau menghantar helaian kertas berkenaan kepada DNA forensik terlebih dahulu sebelum menerimanya semula untuk proses analisis pengecaman tulisan Zara Qairina.
Ditanya sekali lagi oleh Ram berhubung kesan darah pada satu lagi helaian berasingan, Nurul Atiqah berkata, kesan itu tidak jelas dan beliau tidak pasti sama ada ia benar-benar kesan darah.
Beberapa perenggan tulisan Zara Qairina yang menyuarakan ketidakpuasan hati kepada ibunya turut dibacakan Ram, dan saksi mengesahkan ia sememangnya tulisan Zara Qairina kerana mempunyai ciri sama dengan tulisan arwah yang terdapat pada buku bertulis namanya.
Helaian kertas terbabit adalah antara bahan kes yang dibawa ke mahkamah hari ini, meliputi 15 helaian kertas bertanda, empat buku nota dan dua buku teks yang dimasukkan dalam 21 paket plastik.
Inkues kematian Zara Qairina dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, selaku koroner.
Seramai 68 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding inkues yang berlangsung selama 17 hari, bermula 3 September lalu dan dijadual berakhir pada 30 September ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




