Inkues Zara Qairina: Pakar patologi forensik kanan bersetuju dengan dapatan Dr Jessie Hiu

Inkues Zara Qairina: Pakar patologi forensik kanan bersetuju dengan dapatan Dr Jessie Hiu

Kota Kinabalu: Seorang pakar patologi forensik kanan bersetuju dengan dapatan pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu bahawa kecederaan Zara Qairina Mahathir adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.

Datuk Seri Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh, 74, yang juga profesor madya dalam perubatan forensik dan perundangan di Royal College of Surgeons di Ireland & Kampus Malaysia University College Dublin (RUMC) di Pulau Pinang, memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam inkues Zara di sini, hari ini.

Beliau adalah saksi ke-68 yang dipanggil oleh pasukan guaman diketuai Datuk Ram Singh.

“Saya telah meneliti semua dokumen yang diberikan kepada saya berkaitan kes ini. Pemeriksaan bedah siasat yang teliti telah dijalankan oleh pakar patologi forensik dengan bantuan pasukannya dan saya bersetuju dengan dapatan berkaitan kecederaan, sama ada kecederaan luaran mahupun dalaman,” katanya ketika membaca kenyataan saksi bertulisnya.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya dan disahkan meninggal dunia pada keesokan hari, 17 Julai 2025, di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Penggalian semula mayatnya dilakukan pada 9 Ogos 2025 dan pemeriksaan bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos 2025 di Jabatan Perubatan Forensik, QEH.

Dilaporkan sebelum ini, Dr Jessie memberi keterangan bahawa taburan dan sifat kecederaan yang dialami si mati adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.

Dr Jessie juga memberi keterangan bahawa, berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian, adalah tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri di sebelah penghadang konkrit di sepanjang koridor.

“Saya bersetuju dengan dapatan dan pendapat yang diberikan oleh Dr Jessie Hiu,” kata Dr Bhupinder.

Dalam kesimpulannya, Dr Bhupinder mengingatkan bahawa adalah tidak bijak untuk mentafsir secara berlebihan hubungan antara kecederaan yang diperhatikan dengan kemungkinan ketinggian jatuh.

Beliau menjelaskan bahawa corak kecederaan dalam kes jatuh dari tempat tinggi bergantung kepada ketinggian, berat badan, halaju, sifat permukaan yang terhentak, orientasi badan ketika hentakan, serta keanjalan dan kelikatan tisu pada bahagian badan yang terbabit dengan ketinggian jatuh sebagai faktor utama penentu.

Beliau menambah bahawa pemeriksaan pakaian adalah sebahagian penting dalam mana-mana siasatan forensik, namun tiada pakaian tersedia dalam kes ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top