Inkues Zara Qairina: Peguam cadang guna pelbagai bidang termasuk 'biomekanik'

Inkues Zara Qairina: Peguam cadang guna pelbagai bidang termasuk 'biomekanik'

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir mahu pelbagai bidang, termasuk ‘biomekanik’ dipertimbangkan dalam inkues kematian arwah yang sedang dilaksanakan.

Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, berkata inkues bukan saja berkaitan bedah siasat, malah aspek ‘biomekanik’, iaitu kajian berkaitan daya yang bertindak ke atas tubuh manusia juga penting.

Menurutnya, aspek ‘biomekanik’, boleh membantu Koroner memahami lebih mendalam bagaimana arwah meninggal dunia.

Sementara itu, Syarulnizam berkata sesi soal jawab daripada pasukan peguam ibu arwah Zara Qairina akan ditangguhkan sementara.

“Ini kerana kami masih menunggu dokumen rekod perubatan serta sesi lawatan tapak yang dijadualkan pada Khamis, 11 September ini.

“Kami juga baru menerima laporan bedah siasat arwah semalam dan masih menunggu akses kepada dokumen lain, termasuk imbasan tulisan tangan diari yang berkaitan untuk penelitian lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai inkues di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengelak membuat sebarang kenyataan yang boleh mempengaruhi keputusan mahkamah.

“Kami mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam memberi komen, sama ada di media atau media sosial demi menjaga perasaan ibu bapa Zara yang masih mengikuti prosiding ini dengan penuh emosi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top